BAYI dua bulan yang meninggal dunia di sebuah taska dekat Seksyen 6, Kota Damansara, Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu disahkan berpunca akibat sesak nafas.
Menurut ibu mangsa, Maisarah Rosli, punca kematian itu dilaporkan menerusi laporan hasil bedah siasat daripada Pakar Perubatan Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada Jumaat.
"Sesungguhnya jangkaan awal kami adalah benar, punca kematian disebabkan oleh sesak nafas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Qaseh Aulia diletakkan dalam posisi meniarap dalam keadaan dibedung.
"Kami juga percaya, berdasarkan rakaman CCTV, terdapat unsur kecuaian oleh pengasuh kerana meletakkan bayi kami dalam posisi meniarap dengan keadaan bayi dibedung serta tiada pemantauan dan pengawasan untuk lebih satu jam sehingga menyebabkan bayi meninggal dunia," menurut Maisarah dalam kenyataannya pada Sabtu.
Jelasnya, pihaknya akan terus berusaha untuk mencari keadilan ke atas kematian bayinya dan tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat guaman dalam memperjuangkan keadilan tersebut.
"Semoga kematian bayi kami dapat keadilan sewajarnya dan siasatan sepenuhnya akan diserahkan kepada pihak berkuasa selain bersedia untuk memberi kerjasama.
"Ucapan terima kasih juga kepada PDRM, JKM dan PPUM yang memberikan komitmen tinggi dalam kes ini," ujarnya lagi.
Terdahulu, Qaseh Aulia Faizul dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara pada 10 Oktober lalu.
Bayi yang berusia dua bulan 25 hari itu telah menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian, dan selamat dikebumikan pada hari berikutnya.
Susulan kes tersebut, PDRM juga telah menahan pengasuh warga asing bagi merakam percakapan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.
JKM turut menyita taska berkenaan kerana dilaporkan tidak berdaftar bersama jabatan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram