[VIDEO] Bertarung nyawa lebih 45 minit di hospital, ibu 2 anak maut kena sambar petir


  • Benua
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Tangkap layar seorang wanita disambar kilat ketika sedang bermain air di sebuah kawasan pantai dekat Cartagena, Colombia.

SEORANG wanita warganegara Venezuela dilaporkan mati akibat disambar petir ketika bercuti bersama keluarganya di kawasan pantai dekat Colombia pada Khamis.

Ketika kejadian, mangsa Froilanis Rivas, 34, yang merupakan ibu kepada dua orang anak itu difahamkan sedang bermain air di tepi persisiran Pantai Boquilla, wilayah Cartagena, Colombia.

Namun, petir yang menyambar tepat ke arahnya telah mengakibatkan dia rebah dan kaku terbaring di pantai tersebut sebelum didatangi beberapa individu yang tampil membantu.

Turut kelihatan seorang lagi lelaki yang jaraknya tidak jauh daripada mangsa turut tersungkur ke atas pasir ekoran panik dan terkejut dengan panahan petir itu.

Bantuan kesihatan paramedik kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan terus membawa mangsa ke Hospital Serena del Mar, Colombia untuk rawatan lanjut.

Pihak hospital mengambil masa selama 45 minit untuk memulihkan Rivas yang mengalami serangan jantung.

Jurucakap Pejabat Datuk Bandar Cartagena dilaporkan berkata, mereka cuba menyelamatkan mangsa selama 45 minit sebelum mengesahkan dia telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan dilaporkan telah mengarahkan semua pengunjung pantai untuk beredar dari kawasan itu selepas Pejabat Pengurusan Risiko Cartagena mengeluarkan amaran cuaca pada hari tersebut.

Menerusi catatan Facebook keluarga Rivas, mayatnya sedang dalam proses untuk dibawa pulang dan akan dikebumikan di Venezuela.

Terdahulu, satu kemalangan ngeri dilaporkan berlaku membabitkan seorang wanita berusia 33 tahun dan penjual buaian di pantai Mexico.

Mangsa, Elvia de Jesus disahkan maut di lokasi kejadian manakala penjual, Felix Andres, meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, kira-kira 40 juta kes membabitkan kilat berlaku di Amerika Syarikat setiap tahun dan mangsa yang disambar mempunyai 90 peratus kadar kelangsungan untuk hidup. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram