[VIDEO] Selamba bercekak pinggang, pemandu MPV 'buat pekak' lepas kereta halang pejalan kaki di RnR Pedas Linggi


  • Tular
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Tangkap layar seorang pemandu didakwa sengaja meletakkan kereta di tepi bahu jalan hingga menghalang laluan pejalan kaki di Hentian Rehat dan Rawat Pedas Linggi.

PERBUATAN seorang lelaki yang menghalang laluan jalan raya mengundang kemarahan apabila dia ditegur dan dimarahi oleh pemandu lori di Hentian Rehat dan Rawat Pedas Linggi, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Situasi itu tercetus selepas individu berkenaan dipercayai sengaja meletakkan kenderaan di tepi bahu jalan yang sekali gus menghalang laluan pejalan kaki di kawasan tersebut.

Bengang dengan situasi berkenaan, seorang pemandu lori yang menggunakan laluan tersebut kemudiannya membunyikan hon dan memarahi si pelaku atas sikap sambil lewa yang dipamerkannya.

Meskipun dimarahi, lelaki berbaju putih dan berseluar pendek itu dilihat kekal tenang dan terus mengabaikan kesalahannya apabila sempat bercekak pinggang sebelum mengalihkan kenderaan.

Gagal mengawal kemarahan, pemandu lori terbabit kemudiannya melemparkan kata-kata kesat dan memaki si pelaku.

Di ruangan komen, rata-ratanya mendakwa perbuatan itu berpunca akibat sikap segelintir pemandu yang malas berjalan jauh untuk ke tandas.

"Memang dah jadi kebiasaan pemandu parkir tepi jalan semata-mata untuk ke tandas, malas nak jalan kaki jauh dia letak kereta betul-betul depan pintu tandas," kata Ahmad Syukri.

"Dua kesalahan dia lakukan, halang laluan kereta dan parkir di lintasan pejalan kaki, kalau orang kurang upaya nak melintas dah menyusahkan," ujar Faiz Tarmizi.

"Dah buat salah boleh lagi bercekak pinggang mengalahkan mak aku, dia pekak agaknya tak dengan abang itu tekan hon panjang, kena maki pun tak peduli," tambah Siti Farisha.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak bersikap mementingkan diri ketika memandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram