SEORANG wanita dari Brazil maut ditembak teman lelakinya ketika dia sedang asyik merakam video lelaki berkenaan memegang sepucuk pistol menghala ke arahnya.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku dekat Jatai di wilayah barat daya Goias, Brazil baru-baru ini.
Dalam video berdurasi 10 saat yang dikongsikan di media sosial itu, kedengaran suara mangsa, Gabriele Alves, 23, ketawa melihat suspek, Borges, 27, mengacu pistol ke arahnya, seolah-olah sedang membuat jenaka.
Rakaman itu terhenti setelah telefon pintar tersebut jatuh ke lantai sejurus selepas suspek melepaskan satu das tembakan ke arahnya.
Teman lelaki itu kemudian bertindak menghubungi polis bagi membuat laporan berhubung insiden terbabit.
Pada awalnya, Borges memberi keterangan palsu yang mendakwa bahawa Alves maut kerana diserang dan ditembak oleh dua orang lelaki yang cuba merompak mereka.
Keterangan Borges bagaimanapun meragukan pihak polis sehingga siasatan lebih terperinci dijalankan.
Akhirnya video Borges menembak mati teman wanitanya dijumpai dalam telefon pintar wanita berkenaan dan dia kini dijadikan sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan tersebut.
Pihak berkuasa dilaporkan masih lagi sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan kejam itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram