BERPUNCA daripada rasa tidak puas hati bunyi bising tapak kaki berjalan dari lantai rumah di atas, seorang lelaki sanggup bertindak kejam apabila menembak mati seorang bapa dan anak yang merupakan jirannya.
Rakaman kejadian mengerikan di sebuah pangsapuri dekat Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Berdasarkan klip berkenaan, seorang wanita pada awalnya dilihat keluar daripada rumahnya dan bercakap dengan lelaki merupakan jirannya di luar yang kemudian dikenal pasti polis sebagai Jason Pass, 47.
Tidak lama selepas itu, wanita terbabit turut disertai oleh anaknya yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Chinwai Mode, 27.
Video berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai audio menyebabkan sukar untuk dipastikan mengenai butir perbualan berkenaan.
Namun, sejurus selepas itu, bapa tiri Chinwai yang merupakan pemandu bas sekolah berusia 47 tahun, Bladimy Mathurin, keluar dari apartmen sambil mengacukan gunting ke arah jirannya dengan reaksi marah.
Wanita itu cuba menghalang, bagaimanapun suaminya yang merupakan bapa kepada empat orang anak itu menolaknya ke belakang.
Pertengkaran tersebut kemudiannya bertukar menjadi lebih menakutkan selepas jiran lelakinya itu bertindak mengeluarkan pistol dan menghalakannya ke arah Bladimy yang juga seorang ahli bina badan.
Selepas menyedari mengenai keberadaan senjata api tersebut, Bladimy dilihat menolak tangan jirannya itu sebelum bergegas berjalan masuk ke rumahnya.
Bladimy (kanan) dilihat cuba memberikan ancaman menggunakan gunting terhadap suspek. — Agensi
Bagaimanapun, pada saat itu, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah Bladimy menyebabkan lelaki tersebut terjatuh ke atas lantai.
Chinwai yang turut berada di luar kemudiannya dilihat cuba cuba melarikan diri namun jirannya turut melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya, termasuk sekurang-kurangnya dua kali selepas pemuda itu rebah- betul-betul di sebelah tangga pangsapuri tersebut.
Selepas daripada itu, suspek kemudian berjalan ke arah Bladimy yang dilihat sedang bertarung nyawa dan menembaknya sehingga mati betul-betul di hadapan pintu rumah mangsa.
Setelah menembak kedua-dua lelaki itu, suspek seterusnya dengan tenang dilihat turun menaiki lif dan keluar dari bangunan untuk melarikan diri
Petugas perubatan yang tiba di lokasi pada Ahad lalu mendapati Bladimmy dan Chinwai mati akibat beberapa kesan tembakan di kepala dan badan, menurut polis.
Dalam pada itu, isteri Bladimy, Marie Delille berkata, keluarganya, yang berasal dari Haiti masalah perbalahan bersama jirannya akibat bunyi bising yang didakwa datang daripada rumah keluarganya itu sudah berlarutan selama bertahun-tahun.
Ketua Detektif Polis New York (NYPD), Joseph Kenny pada Selasa berkata, pihaknya menerima sebanyak enam panggilan sebelum ini mengenai aduan bunyi bising yang dibuat dari pangsapuri suspek.
Bladimy yang bekerja sebagai pemandu bas turut melakukan aktiviti sebagai ahli bina badan. — Agensi
"Secara umumnya, ia mengenai isu bunyi bising daripada orang yang berjalan di rumah atas.
“Kami mendapati pangsapuri di tingkat atas tidak mempunyai karpet dan penggunaan lantai kayu menyebabkannya menghasilkan bunyi bising," ujarnya.
Dalam pada itu, Joseph berkata, suspek mempunyai rekod jenayah dalam satu kes rompakan sebelum ini pada 1992.
Penembak itu dikatakan bekerja sebagai pegawai penjara di Pusat Pembetulan Sing Sing dekat Ossining dari September 2004 hingga Jun 2005 sebelum dia dipecat.
Sementara itu, Marie berkata, jirannya melepaskan sembilan das tembakan ke arah suami dan anak lelakinya.
Wanita itu turut menegaskan bahawa suaminya tidak bersalah dalam insiden tersebut meskipun video memaparkan Bladimy seperti dilihat memberikan ancaman dengan menggunakan gunting.
“Suami saya tiada pistol, tiada senjata. Kenapa anda perlu bawa pistol dan tembak keluarga saya?" soalnya ketika ditemu bual ABC 7 NY.
Pihak berkuasa dilaporkan masih sedang berusaha menjejaki suspek. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram