[VIDEO] Suspek kes letupan majlis agama serah diri, mengaku letak bom dalam bekal makanan


  • Benua
  • Isnin, 30 Okt 2023

Tangkap layar orang ramai berlari menyelamatkan diri di pusat konvensyen di Kalamassery Kerala, India selepas diletupkan seorang lelaki berusia 48 tahun pada Ahad.

DUA wanita terbunuh manakala lima orang lagi cedera dalam beberapa siri letupan di sebuah pusat konvensyen di Kalamassery Kerala, India pada Ahad.

Letupan itu berlaku semasa majlis keagamaan penganut mazhab Jehovah's Witnesses di kawasan Kalamassery di Kochi.

Menurut seorang saksi, letupan pertama berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi diikuti dua lagi letupan beberapa minit kemudian.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan berkata, polis sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun beberapa jam selepas letupan, seorang lelaki berusia 48 tahun tampil menyerah diri dan mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Suspek, Dominic Martin mendakwa bahawa dia tergolong dalam denominasi Kristian yang sama dengan badan keagamaan yang menganjurkan majlis keagamaan itu.

Difahamkan, bahan letupan tersebut telah diletakkan di dalam sebuah kotak makanan tengah hari.

Pertemuan pada Ahad itu dihadiri hampir 2,000 individu. Orang ramai yang hadir di pusat konvensyen memberitahu media bahawa letupan pertama berlaku sewaktu mereka sedang menunaikan solat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalamassery, Hibi Eden berkata, letupan pertama berlaku di tengah-tengah dewan.

Tambahnya, mereka pada awalnya merancang untuk berpindah ke kawasan lebih selamat sejurus selepas letupan pertama.

"Namun disebabkan terlalu banyak asap di kawasan itu, agak sukar untuk menenangkan semua orang hingga berlaku rempuhan," katanya.

Polis berkata, seramai 45 orang yang cedera sedang menjalani rawatan di beberapa hospital di daerah ini, dengan 18 daripada mereka kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Lima orang yang cedera dalam letupan itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan pula menyifatkan letupan itu sebagai 'insiden malang' dan menyifatkan kes tersebut perlu dipandang serius.

Kejadian itu akan disiasat oleh Agensi Siasatan Kebangsaan yang pakar dalam operasi memerangi keganasan, manakala pasukan forensik agensi itu sedang mengumpul bukti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram