Nahas 2 buah kenderaan, guru tae kwan do rentung lepas berlanggar dengan penunggang p-hailing di Kajang


  • 112
  • Khamis, 12 Okt 2023

Kemalangan membabitkan seorang pemandu dan penunggang motosikal di Kilometer 290.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Kajang, Selangor pada Khamis. — Ihsan Bomba

SATU kebakaran dilaporkan berlaku membabitkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam cerun di Kilometer 290.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Kajang pada Khamis.

Pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer itu difahamkan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda RS150 pada pukul 2.40 petang.

Perkongsian di laman media menjelaskan bahawa pemandu berkenaan merupakan seorang guru tae kwan do manakala penunggang terbabit bekerja sebagai penghantar makanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman mengesahkan kejadian itu dan pemandu berkenaan dilaporkan rentung dalam insiden tersebut.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, kereta terbabit telah terbabas melanggar pembahagi kiri jalan lebuh raya itu lalu terjatuh ke dalam cerun bukit sebelum terbakar.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di dalam kenderaan yang dipandu.

"Sementara penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan dibawa mendapat rawatan di Hospital Serdang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Nasir berkata, waris pemandu kenderaan yang terkorban telah berjaya dikesan oleh pihak polis dan urusan bedah siasat akan dijalankan di bahagian forensik Hospital Serdang, Selangor pada Jumaat.

Tegas beliau, orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian kemalangan tersebut.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan pihak polis berhubung kemalangan maut itu.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 atau menghubungi balai polis yang berdekatan di daerah Kajang bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram