[VIDEO] Pusat beli belah di JB dikosongkan lepas dipercayai hadapi isu keselamatan


  • 112
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Antara gambar dikongsikan yang menyaksikan orang ramai mula mengosongkan premis pusat beli belah tersebut pada petang Sabtu. — Facebook/KomunitiRodaJohor

SEBUAH pusat beli belah di Johor Bahru, Johor iaitu Mid Valley Southkey terpaksa dikosongkan pada pukul 6.45 petang Sabtu dipercayai ekoran daripada kewujudan ancaman bom.

Namun, Polis Johor mengesahkan panggilan yang diterima mendakwa terdapat bom di beberapa sekitar sebuah pusat beli-belah dan hotel di bandar raya ini hanyalah panggilan palsu.

Ia berikutan, kerja pengesanan bom yang dijalankan Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 sejak pukul 6.30 petang hingga pukul 11.30 malam pada Sabtu tidak menemui sebarang objek mencurigakan seperti yang didakwa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata, polis menerima panggilan pihak pengurusan pusat beli-belah itu pukul 6.10 petang Sabtu yang memaklumkan ada menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai warga asing.

"Suspek menyatakan telah meletakkan bom di sekitar pusat membeli-belah dan hotel.

"Hingga pukul 11.30 malam, keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa dan tiada sebarang objek yang mencurigakan ditemui.

"Kawasan berkenaan selamat beroperasi seperti sedia kala," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Meskipun demikian, Kamarul Zaman berkata, polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk pemerhatian lanjut dengan setakat ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

Pada Sabtu, ribuan pengunjung termasuk pekerja dan kakitangan pusat beli-belah ternama di bandar raya ini berdepan detik cemas apabila diminta mengosongkan bangunan itu, secara tiba-tiba sejak pukul 6.30 petang.

Video dan beberapa gambar mengenai proses pengosongan bangunan tersebut turut tular di sosial media.

Menerusi perkongsian dibuat, orang ramai dilihat bergegas secara beramai-ramai keluar daripada pusat beli belah berkenaan dan bergerak ke kawasan selamat.

Pada masa sama, kebanyakan pengunjung juga dilaporkan tidak dapat bergerak pulang kerana kenderaan mereka dipercayai masih berada dekat tempat parkir di dalam bangunan terbabit.

387871247_195036650288556_7367694619945867487_n

Antara gambar dikongsikan memaparkan orang ramai mula yang berdiri di kawasan lapan dan jalan berdekatan premis pusat beli belah tersebut pada petang Sabtu selepas arahan pengosongan premis. — Facebook/KomunitiRodaJohor

Difahamkan, pengunjung tidak dimaklumkan mengenai punca mereka diminta meninggalkan bangunan tersebut.

Berdasarkan perkongsian di sosial media, sebuah jentera bomba didapati sudah berada di luar pintu masuk pusat beli belah itu, manakala bunyi penggera kebakaran turut dilaporkan kedengaran.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bersama Konsulat Jeneral republik itu di Johor Baru turut dilapor mengeluarkan nasihat untuk warga Singapura yang berkemungkinan melawat Mid Valley Southkey.

“Konsulat Jeneral Singapura di Johor Baru maklum mengenai laporan bahawa pengunjung ke Mid Valley Southkey Mall dan Hotel St Giles di Johor Baru diminta berpindah buat sementara waktu berikutan dakwaan isu keselamatan.

“Rakyat Singapura di kawasan sekitar dinasihatkan supaya berhati-hati, memantau berita tempatan, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," ujar kenyataan yang dikeluarkan itu.

Pada masa sama, pihak pengurusan pusat beli belah terbabit mengesahkan mengenai insiden pengosongan tersebut.

Menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, ia memaklumkan bahawa pihak pengurusan sebelum itu menerima laporan berhubung ancaman keselamatan menerusi panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.

Susulan daripada itu, pengurusan pusat beli belah dan hotel terbabit segera melakukan pemberitahuan kepada pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bomba.

"Kami mengesahkan bahawa siasatan pihak berkuasa yang berkaitan sedang berjalan dan turut memberikan kerjasama diperlukan.

"Kami diarahkan pihak berkuasa untuk mengosongkan kawasan terjejas sebagai langkah proaktif. Pasukan engurusan pusat membeli-turut belah membantu dalam kelancaran pemindahan di pusat beli-belah dan hotel," ujarnya kenyataan itu yang tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai jenis ancaman diterima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram