[VIDEO] CCTV jadi bukti, polis siasat kes penunggang motor buang plastik merah dipercayai berisi uri tepi kedai telefon


  • Benua
  • Isnin, 30 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan penunggang motosikal meninggalkan seorang bayi di atas lantai di tepi koridor sebuah bangunan.

BARU-BARU ini tular satu video menunjukkan seorang penunggang motosikal membuang bayi di pekarangan kedai telefon bimbit di kawasan Jalan Jamin Ginting, Desa Partampilan, Kecamatan Pancur Batu, Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara, Indonesia.

Difahamkan, bayi perempuan yang baru dilahirkan itu difahamkan berada dalam keadaan sihat, dan kini dirawat di Hospital Daerah Pancur Batu selepas diselamatkan penduduk sekitar.

Kejadian yang dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut mula tular di media sosial sejak Ahad.

Berdasarkan video tersebut, suspek lelaki itu dilihat meletakkan bayi yang dibalut dengan plastik berwarna merah di atas lantai, sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

Selepas meletakkan beg plastik tersebut, lelaki itu kemudian bergegas melarikan diri dari lokasi menuju ke Kota Medan.

Menurut pemilik kedai telefon tersebut, Sahril, bayi yang ditinggalkan itu ditemukan oleh seorang pengguna jalan raya yang sedang berteduh di pekarangan kedai tersebut, kira-kira pukul 11 tengah hari.

Pada awalnya, penduduk berasa curiga apabila melihat beg plastik berwarna merah itu bergerak-gerak.

Selepas meneliti bungkusan tersebut, alangkah terkejutnya individu itu apabila mendapati terdapat seorang bayi baru lahir dalam keadaan bertali pusat dan masih mempunyai uri di dalamnya.

Sahril kemudian bergegas melihat rakaman CCTV dan mendapati bayi itu dibuang oleh seorang penunggang motosikal dengan sengaja.

"Saya berada di dalam rumah dan terdengar jeritan di depan rumah. Apabila membuka pintu, ternyata ada bayi di sini yang ditemui orang ramai yang berteduh di sini.

"Daripada rakaman CCTV, didapati seorang penunggang motosikal jenis Vario datang dan membuang bayi itu,” katanya pada Isnin.

Kes itu difahamkan masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, penduduk sekitar turut mengesyaki bayi malang itu adalah hasil daripada hubungan terlarang dan sengaja dibuang oleh ibu bapanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram