SEORANG bayi perempuan yang baru lahir ditemui ditinggalkan di tepi tong sampah di kawasan Moyan Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada Jumaat.
Lebih memilukan lagi, bayi tersebut tersebut ditemui dalam keadaan hampir dihurung ulat oleh pekerja kontraktor pengutip sampah ketika mengosongkan sampah dari tong sampah tersebut.
Difahamkan dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, salah seorang pekerja terdengar tangisan bayi dan terus menghampiri tong sampah sebelum menjumpai bayi malang berkenaan.
Pekerja yang tidak didedahkan identitinya itu terus meminta salah seorang pemilik kedai makan berhampiran dan terus menghubungi polis.
Beberapa gambar dan video penemuan bayi berkenaan turut tular di media sosial.
Dalam video tular berdurasi 13 saat berkenaan, kelihatan bayi perempuan tersebut didukung oleh seorang wanita sambil dilihat oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Turut kedengaran salah seorang daripada mereka meluahkan rasa kasihan terhadap bayi itu.
"Kesiannya kena buang. Tengok dah ada ulat hurung," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan sekitar pukul 9.18 pagi Jumaat.
"Satu laporan polis diterima hasil maklumat orang awam yang menghubungi Balai Polis Batu Kawa berkaitan penemuan bayi yang masih hidup berdekatan dengan tempat pembuangan sampah berdekatan pasar raya Moyan Square, Batu Kawa.
"Bayi berkenaan dihantar ke Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk rawatan dan pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram