[VIDEO] Model berdepan hukuman penjara lepas bunuh bayi sendiri elak dihidu kekasih baharu


  • Benua
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Zhafira dihukum penjara sembilan tahun pada Khamis atas kesalahan bunuh bayi bagi mengelak diketahui teman lelaki baharunya ketika berada di Hotel ST Legian, Bali, Indonesia.

MODEL Indonesia, Zhafira Devi Liestiatmaja, 28, pada Khamis berdepan hukuman penjara selama sembilan tahun atas dakwaan membunuh kandungannya sendiri di Bandara Ngurah Rai, Badung, Bali.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai, Asisten Komisioner Polis Dayu Wikarniti mendedahkan suspek sengaja melakukan perbuatan keji itu bagi mengelak diketahui teman lelaki baharunya.

"Suspek ditahan polis di Semarang, Indonesia pada 19 Oktober lalu mengikut Perkara 342 Kanun Jenayah selepas didapati sengaja membunuh kandungannya," kata polis pada Khamis.

Mengikut hasil siasatan polis, pada 15 Oktober lalu, suspek menginap bersama teman lelaki baharunya, warga Singapura di Hotel ST Legian, Bali, Indonesia dan mengakui mengalami sakit perut sejak pukul 3 petang.

Tidak lama selepas itu, Zhafira bersalin di bilik air hotel itu pada pukul 8 malam pada hari yang sama.

Bagi mengelak diketahui teman lelakinya, suspek menyiram dan menutup bayinya itu ke dalam mangkuk tandas sehingga meninggal dunia sebelum membuang mayat bayi itu di tempat letak kereta Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai.

"Zhafira menyembunyikan kehamilannya kerana tidak mahu teman lelaki baharunya tahu perkara tersebut kerana berharap wujud hubungan yang serius bersama lelaki tersebut.

"Malam itu, Zhafira mendakwa dia sedang haid bagi mengelakkan kekasihnya mengetahui dia sedang mengandung," kata polis.

Dayu berkata, suspek tidak mengetahui usia sebenar kehamilannya, selain tidak dapat mengesan identiti ayah kepada anaknya itu kerana wanita tersebut sering bertukar teman lelaki sejak Januari 2023.

Bagaimanapun, menurut hasil bedah siasat dan ujian forensik, bayi yang dibuang berusia sekitar 38 minggu.

"Kalau tak silap saya, dia mula hamil pada Januari atau Februari. Suspek berkata dia ada teman lelaki pada Januari dan menjalinkan hubungan intim tetapi mereka berhenti melakukan hubungan itu.

"Manakala, lelaki yang menginap bersamanya ketika kejadian adalah teman lelaki baharu," katanya.

Mengikut laporan saksi, pekerja pembersihan, Darmiati, 55 tahun pada mulanya membersihkan sekitar kawasan parkir premium Terminal Berlepas Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai sekitar pukul 4.40 petang (waktu tempatan) dan kemudian terlihat satu beg plastik putih yang mencurigakan.

Darmiati terkejut apabila beg plastik itu mengandungi mayat bayi lengkap bertali pusat dan ari-ari dan kemudian melaporkan penemuan mayat bayi itu kepada polis.

Selepas itu, melalui penyiasatan yang dibuat pihak polis di tempat kejadian, akhirnya suspek berjaya dikesan dan ditahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram