SEBELUM ini, tular satu video memaparkan kejadian seorang wanita dipercayai ingin membuang bayinya di rel kereta api Commuter Line Pasar Minggu di Jakarta Selatan, Indonesia.
Bagaimanapun, menurut laporan polis, wanita tersebut sebenarnya berniat untuk melakukan percubaan bunuh diri bersama bayinya.
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, ibu berkenaan dilihat sedang ditenangkan oleh petugas dan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Dalam masa sama, kelihatan juga petugas lain membantu menggendong bayi berkenaan.
Kapolsek Pasar Minggu, Kompol David Pratama Purba memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada Sabtu malam.
“Maklumat yang kami terima dari stesen kereta itu, wanita berkenaan bukanlah cuba untuk membuang bayi, tetapi sebenarnya mahu membunuh diri, ada kemungkinan sebab dia mengalami tekanan," katanya pada Isnin.
David turut memberitahu, setelah ibu itu diberi rawatan, dia akhirnya berjanji untuk tidak akan mengulangi perbuatan yang membahayakan itu lagi.
"Semuanya sudah selamat, tidak ada apa-apa (perkara buruk yang berlaku) dan (wanita itu) balik ke rumahnya.
"Dia sudah dibawa ke rumah dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram