[VIDEO] Ibu terkejut badan bayi lebam, rupanya 'babysitter' gosok guna duit syiling nak buang angin


  • Benua
  • Ahad, 17 Sep 2023

Keadaan badan Ibrahim yang kemerah-merahan akibat digosok oleh pengasuhnya menggunakan duit syiling.

LULUH hati seorang ibu apabila mendapat tahu anak yang baru menjengah usia 13 bulan menjadi mangsa deraan pengasuhnya.

Pendedahan itu dikongsikan oleh ibu tersebut, Tia menerusi laman media TikTok miliknya baru-baru ini, sebelum ia menjadi tular.

Apabila tiba di rumah selepas pulang dari kerja, dia terkejut apabila mendapati badan anaknya dipenuhi kesan kebiruan dan lebam-lebam di badan.

"Saya sedar perkara ini selepas pulang dari kerja, terkejut saya lihat anak saya dikerjakan oleh pengasuh sehingga badan menjadi kemerah-merahan seperti itu," tulisnya.

Kongsi ibu muda itu lagi, pada awalnya, anaknya yang dikenali sebagai Ibrahim tiba-tiba menjadi cerewet dan lemah.

Sedangkan katanya, Ibrahim seorang bayi yang aktif dan tidak pernah merengek.

Apabila menjalani pemeriksaan, doktor mendapati anaknya berpeluh dan mengalami perut buncit.

Pengasuh itu kemudian mengakui bahawa dia telah menggosok badan bayi berkenaan dengan menggunakan duit syiling sehingga menjadi kemerah-merahan.

"Pengasuh ini menjaga empat orang anaknya seorang diri, apabila mereka masuk angin, dia memang akan guna cara menggosok. Jadi dia cuba menggosok Ibrahim secara perlahan-lahan menggunakan duit syiling," katanya lagi.

Pengasuh itu segera meminta maaf dan mengakui perbuatannya terhadap Ibrahim.

"Sekiranya masuk angin, demam atau cedera, saya sebenarnya memang dah sediakan beberapa jenis ubat-ubatan kerana bagi saya ini semua adalah sangat perlu sekiranya terjadi apa-apa di rumah," katanya sambil menyebut beberapa jenama ubat.

Ibrahim ketika ini sedang menerima rawatan lanjut di bahagian Digital Subtraction Angiography (DSA) di sebuah hospital dan dilaporkan semakin pulih.

Sementara itu, Tia berkata, dia masih ingin memberi peluang kepada pengasuh tersebut untuk menjaga Ibrahim kerana wanita berusia 43 tahun itu sangat menyayangi anaknya.

Untuk makluman, amalan menggosok badan menggunakan duit syiling dipercayai sebagai salah satu cara untuk menghilangkan rasa sakit dan masuk angin, namun kaedah itu tidak sesuai diaplikasikan ke atas bayi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram