[VIDEO] Jambatan kaca pecah, pelancong wanita maut tercampak dari ketinggian 10 meter


  • Benua
  • Rabu, 25 Okt 2023

Tangkap layar insiden jambatan kaca pecah yang mengorbankan seorang pengunjung wanita di Hutan Pinus Limpakuwus, Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.

SEORANG pelancong maut akibat terjatuh dari sebuah jambatan kaca yang dilaporkan pecah di pusat pelancongan The Geong dekat Hutan Pinus Limpakuwus, Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia pada Rabu.

Insiden itu mengakibatkan satu nyawa terkorban manakala seorang lagi tercedera.

Ketua Polis Banyumas, Komisioner Polis (CP) Edy Suranta Sitepu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 10 pagi.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang merupakan pelancong tempatan dari wilayah Cilacap, Jawa Tengah, Indonesia terjatuh akibat kepingan kaca pada lantai jambatan itu pecah.

"Akibat itu, dua individu dilaporkan sempat berpaut pada pemegang keselamatan di jambatan itu manakala dua lagi pengunjung wanita tercampak ke bawah," katanya.

Katanya, polis telah menutup laluan di jambatan itu dan sedang bekerjasama dengan beberapa pakar dari Jabatan Forensik untuk menentukan punca keretakan yang berlaku pada jambatan tersebut.

"Polis juga akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap pengurus pusat pelancongan itu termasuk saksi di lokasi berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi dikenali sebagai Sanarto berkata, kumpulan pelancong itu dilihat pergi ke tandas sebelum menaiki jambatan tersebut.

"Selepas mereka melintas di jambatan itu, tiba-tiba saya terdengar bunyi kaca pecah dan apabila saya menoleh, dua orang individu telah terjatuh ke bawah dan dua lagi sempat berpegang pada besi," katanya.

Menurutnya, kru petugas di pusat pelancongan terbabit segera membantu mangsa yang terjatuh dari ketinggian 10 meter itu.

Malah, Sanarto juga dikatakan sempat membacakan surah Al Fatihah ketika membawa mangsa ke kereta sebelum dihantar ke Hospital Wilayah Prof. Dr. Margono Soekarjo di Purwokerto, Kabupaten Banyumas, Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram