[VIDEO] Influencer berkerusi roda mati kena 'head shot' ketika asyik layan peminat di live TikTok


  • Benua
  • Ahad, 22 Okt 2023

Tangkap layar ketika Rezabala ditembak mati oleh individu tidak dikenali yang sempat dirakam menerusi penstriman langsungnya baru-baru ini.

SEORANG individu kelainan upaya (OKU) ditembak mati secara tragis sewaktu sedang asyik melayan pengikutnya secara langsung di aplikasi TikTok pada Sabtu.

Pedro Luis Toala Rezabala, 33, yang lebih dikenali sebagai Lagrimita didakwa dibunuh di Portoviejo, Ecuador, kira-kira pukul 9.45 malam.

Kejadian pembunuhan kejam itu sempat dirakam menerusi paparan skrin penstriman langsungnya.

Dalam pada itu, kamera litar tertutup (CCTV) premis berdekatan turut merakam keseluruhan situasi sebelum mangsa ditembak dengan kejam.

Berdasarkan rakaman CCTV tersebut, Rezabala dilihat sedang duduk di kerusi rodanya selepas keluar dari rumah pada waktu malam.

Dia dikatakan sedang melukis gambar senjata api ketika dua lelaki tiba dengan menaiki sebuah motosikal dan melepaskan tembakan.

Tidak lama kemudian, muncul pula lelaki ketiga dan menembak Rezabala di kepala dari arah belakang sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menurut laporan tempatan, Rezabala dipercayai mempunyai rekod beberapa jenayah seperti rompakan, pengedaran dadah, tingkah laku ganas dan memiliki senjata haram.

Dia dilaporkan bersama seorang rakannya ketika kejadian tersebut berlaku.

Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri tanpa mengalami kecederaan, namun siasatan polis masih diteruskan sehingga ke hari ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram