POLIS kini sedang memburu seorang lelaki yang disyaki membunuh teman wanitanya di sebuah salun kecantikan di Prachin Buri, Thailand pada Ahad.
Memetik laporan media antarabangsa, ThaigerNews, mayat wanita berkenaan dijumpai pihak berkuasa dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur pada pukul 9.30 pagi.
Siasatan awal polis mendapati mangsa, Kamriang Ritpong, 47, mengalami dua kesan tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada.
Sementara itu, seorang saksi memberitahu polis bahawa dia melihat suspek meletakkan kereta sedan Toyota biru miliknya di hadapan salun milik mangsa sebelum lelaki berkenaan memecah masuk ke premis tersebut.
"Dia (suspek) pecahkan pintu kaca dan memasuki salun berkenaan sebelum mendengar suspek menjerit 'kamu mesti mati' diikuti dengan tiga bunyi tembakan,' katanya.
Tambah saksi berkenaan, dia menunggu sehingga suspek itu meninggalkan tempat kejadian sebelum memeriksa keadaan mangsa dan terus menghubungi pihak polis.
Susulan siasatan lanjut, pegawai berjaya mengenal pasti suspek sebagai Panya Honhuan, 54, yang juga merupakan bekas teman lelaki si mati. Polis percaya pembunuhan itu bermotifkan rasa marah dan cemburu selepas kedua-duanya berpisah.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berkenaan juga menunjukkan suspek meletakkan kereta di hadapan salun itu pada pukul 9.19 pagi.
Dia keluar dari kereta dan terlibat dalam perbualan telefon sebelum kembali ke kereta.
Lelaki itu kembali ke salun pada pukul 9.21 pagi dengan pistol di tangannya. Dia melepaskan tembakan ke arah pintu kaca, kemudian memecahkan pintu dengan pistolnya beberapa kali sebelum memasuki salon. Selepas pembunuhan itu, lelaki itu meninggalkan premis dan melarikan diri dari tempat kejadian dengan keretanya.
Setakat berita ini ditulis, polis kini sedang giat mencari suspek yang menghilangkan diri selepas kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram