
SEKUMPULAN pelajar perempuan yang didakwa membuli rakan sekelas mereka di sebuah sekolah menengah di Kabupaten Langkat, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini terselamat dari dibuang sekolah.
Kejadian itu dirakam pelajar lain yang turut berada di situ, sebelum ia tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi 30 saat yang dimuat naik di laman X (Twitter) pada Rabu, si pembuli dilihat dengan selamba menarik tudung yang dipakai mangsa ke belakang hingga menampakkan sebahagian rambutnya, sambil diperhatikan rakan yang lain.
Mangsa yang tidak memberi sebarang respons dilihat segera menarik kembali tudungnya ke posisi asal.
Lebih mendatangkan kemarahan warga maya adalah apabila pembuli itu dengan sengaja menyentuh payu dara mangsa, sebelum menjerit dan bergelak ketawa sesama mereka.
Setelah disiasat, salah seorang pembuli itu dipercayai merupakan anak kepada seorang anggota polis dan juga anak saudara kepada Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).
Tidak dapat menerima keadaan itu, ibu bapa mangsa meminta agar pembuli dibuang dari sekolah berkenaan.
Dalam masa sama, guru-guru dan ibu bapa si pembuli turut berkunjung ke rumah mangsa dan memohon agar masalah itu diselesaikan secara baik.
Sebagai pertukaran, mereka akan memberikan bantuan dari segi rawatan psikologi dalam tempoh dua minggu bagi memulihkan semangatnya.
Ibu bapa mangsa tidak mampu berbuat apa-apa, sebaliknya mereka terpaksa akur pada keputusan tersebut dan berharap agar kesihatan mental anaknya kembali pulih seperti sedia kala. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram