SEORANG lelaki penghantar makanan di Amerika Syarikat (AS) terlepas hukuman penjara 20 tahun selepas didapati tidak bersalah oleh mahkamah pada Khamis atas perbuatannya menembak seorang YouTuber yang sedang melakukan 'prank' di dalam sebuah pusat beli-belah.
Tertuduh, Alan Colie, sebelum itu berhadapan dengan beberapa pendakwaan ekoran tindakannya menembak pelawak YouTube, Tanner Cook yang terkenal melalui penghasilan video di saluran YouTube, Classified Goons.
Alan dalam perbicaraan tersebut mengaku menembak Tanner dan mengatakan bahawa dia bertindak atas kapasiti mempertahankan diri.
Menurutnya, tindakan membawa pistol itu merupakan satu rutin kebiasaan buatnya yang bekerja sebagai penghantar makanan di syarikat, Door Dash selepas mengambil kira beberapa kes rompakan dialami rakan pekerja yang lain.
Pada 2 April lalu, Tanner bersama seorang rakannya telah mendekati Alan di sebuah medan selera di Pusat Bandar Dulles, Virginia, AS untuk membuat video bagi saluran YouTube mereka.
Klip rakaman insiden tersebut menunjukkan Tanner memegang telefon pintar begitu hampir dengan telinga Alan sambil memainkan bunyi daripada aplikasi terjemahan.
Ekoran daripada tindakan spontan itu, Alan dilihat berundur dan memaparkan reaksi yang tidak begitu selesa.
Tertuduh, Alan Colie. — Agensi
Alan mendakwa bahawa dia berasa keliru dengan bunyi yang dimainkan, dan menyifatkan kedua-dua individu itu dilihatnya berada dalam keadaan 'sangat dingin dan marah'.
Video terbabit yang baru didedahkan kepada umum, itu kemudian menunjukkan Alan bertindak menembak Tanner selepas kedua-dua pasangan itu terus mendekatinya.
Pada masa sama, klip berkenaan bagaimanapun memaparkan Tanner langsung tidak mengenakan sentuhan fizikal terhadap tertuduh.
Dalam perbicaraan tersebut, Alan memberitahu juri: "Dalam fikiran saya, saya menganggap bahawa dia adalah ancaman kepada diri saya dan berpotenssi membahayakan diri saya.
"Saya nampak tangan kirinya masuk ke dalam poket kiri seluar. Saya tidak tahu sama ada dia menyembunyikan senjata.
"Demi keselamatan saya, saya mengeluarkan pistol dari poket kanan saya dan menembaknya di perut. Pada masa itu, saya risau nyawa saya dalam bahaya."
Penolong Peguam Komanwel Eden Holmes turut menyoal Alan Colie mengenai interaksi 20 saat yang berlaku dalam insiden tersebut.
Dia bertanya: "Dalam 20 saat itu, anda rasa satu-satunya pilihan ialah mengeluarkan pistol anda?"
Colie menjawab: "Itu adalah apa yang berada dalam fikiran saya ketika itu."
Holmes kemudian berkata, "Kita memang tidak suka ruang peribadi diceroboh, tetapi itu tidak membenarkan kita untuk menembak seseorang di kawasan awam semasa interaksi yang berlangsung selama 20 saat sahaja."
Peguam bela Alan, Adam Pouilliard kemudiannya berkata, "Colie berada di pusat beli-belah untuk melakukan tugasnya tanpa niat untuk berinteraksi dengan Tanner. Tiada."
Delivery driver who shot a YouTube prankster acquitted by jury.#YouTube #YouTuber #Prank #Prankster pic.twitter.com/p5XuMTaedf
— Zenify (@Zenifywtf) September 30, 2023
Eden pada masa sama juga berhujah bahawa Tanner tidak pernah menyentuh Colie, dan tidak mempunyai senjata.
Dalam perbicaraan itu, Alan dilepaskan daripada dua tuduhan melakukan perbuatan mencederakan dengan niat jahat dan dengan penggunaan senjata api.
Bagaimanapun, dia tetap disabitkan atas kesalahan menembak di dalam pusat beli-belah terbabit dan berdepan hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda $2,500 (RM11,738).
Dua pertuduhan yang dilepaskan daripada Alan itu membabitkan hukuman lebih berat iaitu penjara 20 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram