[VIDEO] 'Ada suara suruh tembak', remaja cetus kekecohan di pusat beli-belah Thailand alami gangguan mental


  • Benua
  • Rabu, 04 Okt 2023

Suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa pada hari kejadian.

SEORANG remaja Thailand berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah mewah Paragon, Bangkok, Thailand pada Selasa dipercayai mengalami gangguan psikologi.

Dia telah mengubahsuai pistol tersebut, sebelum menggunakannya untuk melepaskan tembakan.

Sebelum ini, kekecohan tercetus apabila beberapa pengunjung terdengar bunyi tembakan dari arah tandas pusat beli belah berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beratus-ratus pengunjung menjadi panik dan segera berlari keluar dari premis tersebut bagi menyelamatkan diri masing-masing.

Menurut laporan diterima, dua wanita dari China dan Myanmar terbunuh, manakala sekurang-kurangnya lima orang cedera melibatkan dua warga asing dan tiga warga Thailand.

Suspek dilaporkan telah ditahan pada hari kejadian.

Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata, remaja tersebut sedang menerima rawatan psikologi dan dia difahamkan tidak mengambil ubat yang ditetapkan pada hari kejadian.

Penyiasat sedang meneliti latar belakang remaja itu dan merancang untuk menemu bual rakan-rakannya yang merupakan pemain sukan elektronik untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan mentalnya.

"Kami perlu menyiasat suspek sama ada dia pernah terlibat dalam kelakuan yang ganas dan agresif sebelum ini," katanya dalam satu wawancara di televisyen.

"Suspek mengalami gangguan psikologi dan ia sesuai dengan profil penembak aktif.

"Pada mulanya saya bercakap dengannya untuk menenangkan dia. Saya lihat seolah-olah ada seseorang yang sedang bercakap dengannya. Dia seperti sedang mendengar sesuatu, ada suara yang menyuruhnya untuk tembak," katanya.

Penembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand tetapi keganasan senjata api dan pemilikan senjata adalah perkara biasa.

Peraturan mengenai pemilikan senjata api adalah ketat di negara itu, tetapi ia boleh diubah suai dan diperoleh secara haram serta banyak yang diseludup dari luar negara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram