TINDAKAN sekumpulan lelaki dipercayai pihak pengurusan jenazah memukul seorang pemandu lori mengundang kecaman warga maya baru-baru ini.
Manakan tidak, dalam kejadian yang berlaku di Cilicing, Jakarta, Indonesia itu memaparkan sekumpulan lelaki berkenaan bertindak di luar kawalan memukul mangsa di sebuah jalan raya sehingga membuatkan kesesakan lalu lintas.
Malah, perbuatan mereka itu turut dirakam oleh oleh orang awam dan di dimuat naik semula di laman X (Twitter) @Heraloebs pada Selasa.
"Terjadi sekali lagi. Penghantar jenazah memukul pemandu lori sampaikan ada yang naik ke atas kenderaan tersebut," ciapnya.
Dalam video berdurasi kurang seminit tersebut kelihatan lima orang lelaki yang membawa bendera kuning mengasari pemandu lori berkenaan dengan memukul mangsa.
Pada masa sama, salah seorang daripada mereka yang dilihat bertindak ganas dengan menendang mangsa berkali-kali.
Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk kerana ada antara mereka meletakkan motosikal di tengah-tengah jalan sehingga menghalang laluan jalan raya tersebut.
Namun, memetik laporan portal media antarabangsa, era.id, tidak dapat dipastikan punca dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Setakat berita ini ditulis juga, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa tempatan ataupun mana-mana pihak yang terlibat dengan insiden tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna warga maya mengecam tindakan sekumpulan lelaki tersebut.
"Nak kebumikan orang mati tapi pada masa yang sama nak bunuh orang," tulis @farizary.
"Mana kesabaran orang angkuh seperti ini? Nak kebumikan orang yang meninggal tapi pada masa sama nak bunuh orang juga? Kesian jenazah yang hendak diuruskan. Sepatutnya berdoa sepanjang perjalanan ke kubur, bukan buat kecoh di jalan," kata @dhiiikaaa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram