[VIDEO] Polis kesan lelaki naik hantu tendang, tikam wanita di dobi layan diri Terengganu


  • Tular
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita ditikam oleh individu tidak dikenali dengan menggunakan senjata tajam baru-baru ini.

TULAR satu video memaparkan seorang wanita ditikam oleh individu yang tidak dikenali menggunakan senjata tajam baru-baru ini.

Kejadian itu difahamkan berlaku di sebuah kedai dobi layan diri berhadapan Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu dimuat naik di laman Twitter pada hari yang sama sehingga menarik perhatian umum.

Manakan tidak, berdasarkan video berdurasi 13 saat itu, lelaki berkenaan dilihat seperti naik hantu mengasari mangsa.

Malah, suspek juga dilihat menendang dan memukul kepala wanita tersebut berkali-kali.

Sementara itu, memetik laporan portal tempatan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang itu.

"Kes membabitkan seorang wanita. Kita masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan beberapa kenyataan berhubung kejadian itu.

"Operasi mengesan suspek juga sedang dilakukan. Setakat ini mangsa disahkan ditikam dan tidak ada kaitan samun," katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam bersebelahan dobi berkenaan yang enggan namanya dikenali berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dilihat menaiki Proton Wira kelabu dan berada selama hampir dua jam di hadapan premis itu.

"Sebaik melihat wanita terbabit (mangsa) memasuki premis dobi berkenaan, suspek kemudian terus masuk ke dalam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram