HARAPAN dan sandaran tinggi yang diletakkan di bahu Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk perlawanan pembukaan Piala Malaysia segera bertukar kepada kedukaan.
Walaupun mendahului seawal minit pertama hasil jaringan Manuel Ott, kesilapan bek tengah kelahiran Serbia, Bojan Ciger menghadiahkan sepakan penalti buat Perak FC.
Tendangan itu jelas menjadi titik kebangkitan pihak lawan apabila mereka kemudiannya mendapatkan gol kedua dan ketiga menerusi Luka Milunovic dan Hakimi Mat Isa.
Meskipun aksi timbal balik akan diadakan di Stadium Darul Aman, Kedah pada 18 Ogos, kelebihan yang dimiliki skuad The Bos Gaurus (TBG) akan menyukarkan kemaraan mereka.
Nafuzi perlu mencari alternatif baharu untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Rodney. — Facebook/KDA FC
Lebih menggusarkan lagi, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu dijangka tidak akan dapat menggunakan khidmat tonggak utama mereka, Rodney Calvin Akwensivie.
Dia yang gagal mengawal emosinya memasuki minit ke-60 permainan dilayangkan kad merah setelah didapati menyepak muka penyerang Perak FC, Seo Seon-ung.
Tindakan itu memaksa pengadil perlawanan, Usaid Jamal untuk mengarahkan bek tengah berusia 26 tahun tersebut sambil meninggalkan pemain lawan terbaring kesakitan di atas padang.
Melihat kepada kekasaran berkenaan, terdapat kemungkinan dia akan digantung untuk satu tempoh yang panjang, termasuk aksi kedua Piala Malaysia di laman sendiri.
Kehilangannya itu dijangka akan menggoyahkan benteng pertahanan KDA FC memandangkan pemain itu sering diletakkan dalam kesebelasan utama musim ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rodney sepanjang ketiadaannya:
1. Alan Robertson
Ketika jendela perpindahan awal musim lalu, skuad Sang Kenari membawa masuk pemain import dari Afrika Selatan, Alan Robertson yang dilepaskan kelab Filipina, United City FC.
Kehadiran pemain itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang cukup tertarik dengan struktur fizikal bek tengah terbabit.
Bagaimanapun, setakat separuh musim, Robertson hanya beraksi untuk skuad simpanan KDA FC yang beraksi dalam Piala MFL di samping seorang lagi import baharu, Ebenezer Assifuah.
Robertson (kanan) merupakan tonggak utama skuad Piala MFL KDA FC. — Facebook/KDA FC B
Keberadaannya bersama pasukan itu memainkan peranan cukup penting memandangkan pasukan tersebut berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Meskipun gaya permainannya tidak dapat diperhatikan dengan lebih lanjut, terdapat perkhabaran bahawa pemain berusia 29 tahun tersebut mempunyai skil yang setaraf Liga Super.
Sekiranya Nafuzi mahu mencipta satu gandingan baharu dalam skuad utamanya, dia berpeluang memanggil bek berketinggian 1.89 meter (m) itu sepanjang penggantungan Rodney.
Tetapi, kemungkinan untuk Robertson diberikan peluang adalah tipis memandangkan pihak kejurulatihan KDA FC tidak pernah membawanya masuk setiap kali pemainnya cedera.
2. Akmal Zahir
Sebelum Rodney diberikan peranan sebagai bek utama KDA FC, Nafuzi lebih mempercayai kebolehan pemain berusia 29 tahun, Akmal Zahir.
Di samping berpengalaman dalam Liga Super, pertahanan tersebut turut mempunyai struktur fizikal yang baik meskipun ketinggiannya hanya mececah 1.78m.
Tidak cukup dengan itu, reputasinya juga melambung apabila dia menjaringkan dua gol dalam Liga Super ketika pertemuan antara skuad Sang Kenari dan Kuching City FC.
Akmal Zahir (kanan) semakin kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama. — Facebook/KDA FC
Sumbangannya itu sedikit sebanyak membantu KDA FC berada dalam kelompok lima pasukan teratas sepanjang musim, sekali gus membuka peluang besar buat mereka layak ke pentas Asia.
Bagaimanapun, sejak merekodkan kekalahan memalukan menentang Johor Darul Takzim di tempat lawan, pemain itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan.
Untuk rekod, kali terakhir Akmal diletakkan dalam kesebelasan utama adalah ketika menentang PDRM FC pada 9 Julai lalu dengan Nafuzi memilih untuk merehatkan Rodney.
Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat kemungkinan besar jurulatih kelahiran Kelantan itu akan kembali menggunakan khidmat Akmal sepanjang ketiadaannya.
3. Heshamuddin Ahmad
Ketika permulaan kariernya, bek kiri, Heshamuddin Ahmad diangkat sebagai antara permata baharu yang dilahirkan skuad simpanan KDA FC.
Bagaimanapun, musim ini, pemain terbabit lebih kerap disisihkan daripada kesebelasan utama apabila pihak kejurulatihan lebih mempercayai khidmat Ariff Farhan.
Setakat ini, Heshamuddin hanya beraksi untuk tujuh perlawanan dengan tiha daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan ketika minit-minit akhir permainan.
Heshamuddin (kanan) mempunyai reputasi cukup baik ketika memulakan kariernya. — Facebook/KDA FC
Malah, untuk perlawanan yang mana dia diberikan peluang dalam kesebelasan utama, Nafuzi memilih untuk meletakkannya sebagai bek kanan meskipun ia merupakan satu posisi asing buatnya.
Tetapi, pendekatan itu masih diterima Heshamuddin memandangkan dia perlu mendapatkan minit permainan mencukupi bagi perkembangan kariernya.
Melihat kepada kualitinya dari segi fizikal, terdapat kemungkinan pemain berkenaan akan berada dalam perancangan untuk aksi Liga Super berdepan Sri Pahang FC di laman sendiri.
Namun, memandangkan terdapat Akmal dan Robertson untuk diletakkan sebagai bek tengah, Heshamuddin seperti terpaksa berpuas hati dengan peranannya di bangku simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram