[VIDEO] Ditinggal kekasih, lelaki mental tersenyum ‘healing’ panjat bumbung rosakkan rumah jiran


  • Benua
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Tangkap layar kejadian suspek mengamuk dan bertindak membaling atap genting ke arah bumbung rumah jiran-jirannya di Kecamatan Gempol, Kabupaten Pasuruan, Indonesia pada Selasa.

SEORANG lelaki mengamuk dan bertindak merosakkan rumah jiran-jirannya gara-gara ditinggalkan teman wanitanya yang memilih untuk berkahwin dengan jejaka lain.

Kejadian yang dirakam penduduk kampung itu berlaku sekitar pukul 5.30 petang Selasa di Dusun Sumberingin II, Desa Sumbersuko, Kecamatan Gempol, Kabupaten Pasuruan, Indonesia.

Lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai MAP itu difahamkan mengalami tekanan perasaan selepas putus cinta, sebelum membuat onar dengan merosakkan bumbung empat buah rumah jirannya.

Dia yang berang mula naik ke atas bumbung rumah salah seorang jirannya.

Tidak lama kemudian, kedengaran jeritan daripada penduduk sekitar yang terkejut melihat lelaki itu sudah mula memanjat rumah milik orang lain.

Selain membaling atap genting ke tiga bumbung rumah jiran yang berhampiran, dia dipercayai turut merosakkan kabel elektrik rumah penduduk sekitar.

Penduduk tempatan yang menyaksikan kejadian itu cuba menenangkan emosi pemuda berkenaan dengan memujuknya, namun pujukan itu ditolak.

Malah, dia dikatakan berterusan membaling batu ke rumah di sekelilingnya dalam keadaan tersenyum.

Akibat kekecohan yang berterusan dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti, orang ramai nekad memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Beberapa anggota polis kemudian tiba di lokasi kejadian, bagaimanapun lelaki terbabit masih berada dalam keadaan tidak stabil.

"Pada mulanya, MAP keluar dari kediamannya dalam keadaan marah. Ketika sudah berjalan sejauh 100 meter, dia memanjat tembok secara tiba-tiba dan naik ke rumah jirannya sambil membawa batu.

"Dia akhirnya mahu turun setelah dipujuk adiknya. MAP kemudian dibawa ke balai polis sebelum diserahkan ke hospital mental untuk pemeriksaan lanjut," ujar jurucakap polis, Saiful Ma'arif.

Lelaki berkenaan telah dihantar untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Jiwa (RSJ) Lawang, daerah Malang kerana disyaki mengalami gangguan mental. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram