Bermula sebagai atlet, Haitham kini pilih jadi jurulatih Muay Thai


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Kesemua adik-beradik lelaki, termasuk Haitham cukup aktif dalam sukan Muay Thai sejak kecil lagi.

SUKAN lasak, Muay Thai sememangnya menarik minat pelbagai pihak terutamanya golongan muda untuk mempelajarinya biarpun ia adalah aktiviti yang memerlukan disiplin mental dan fizikal berada pada tahap yang tinggi.

Bagi peminat sukan Muay Thai, siapa tidak kenal dengan Haitham Rumijam yang pernah mencipta nama merekodkan dua kali kejuaraan pada tahun 2018 dan 2019 di peringkat kebangsaan, sekali gus meraih tali pinggang berharga dalam sukan tersebut.

Haitham Rumijam yang mesra disapa Haitham merupakan alumni Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi, Selangor dan mula berkecimpung dalam sukan Muay Thai seawal umur 13 tahun dan masih aktif sehingga kini.

Menurutnya, dia mula bermain Muay Thai sebagai seorang atlet bermula dari umur 13 tahun hingga 21 tahun apabila melihat abang sulungnya, Fakhrurrozi Rumijam menyertai sukan itu.

Tambahnya lagi, dia berehat seketika dari sukan itu kerana ingin menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Usuluddin Dengan Multimedia (Kepujian), di UIS.

Bagaimanapun, selepas sahaja tamat pembelajaran, dia memulakan karier sebagai jurulatih Pembangunan Sukan Muay Thai di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 19.22.46

Haitham (tiga dari kiri) ketika menjuarai sukan Muay Thai.

Jurulatih berusia 25 tahun itu turut mengongsikan antara kenangan manis sepanjang menjadi atlet sukan tersebut.

"Kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan adalah mempunyai rekod perlawanan 61 kali iaitu 39 menang, 10 kali seri dan 12 kekalahan," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, anak jati kelahiran Shah Alam, Selangor itu turut memberikan pandangan mengenai sambutan orang bandar terhadap seni Muay Thai tersebut.

"Pandangan saya terhadap sukan Muay Thai daripada golongan bandar ini sambutan sangat tinggi kerana jika melihat kepada sudut rating sukan itu sendiri selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, sukan ini melonjak naik.

"Tidak kira sama ada daripada golongan bandar mahupun pedalaman, ia bermula dari lapisan masyarakat dan apa yang membezakan adalah di bandar lebih memfokuskan kepada komersial dan tempat lain fokus kepada pembangunan atlet," jelasnya.

Bercakap mengenai golongan yang menyertai Muay Thai, Haitam berkongsikan bahawa sukan itu mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh negara.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 19.22.46 (1)

Haitham bersama dua tali pinggang kejuaraan yang diperolehi dalam sukan Muay Thai.

"Jika mengikut kepada garis masa, lima tahun lepas kecenderungan penglibatan sukan ini khususnya di negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis yang bersempadan dengan Thailand.

"Tapi bermula dua tahun lepas, sukan ini sudah disertai di setiap negeri kerana saya nampak perkembangan itu memandangkan pernah menguruskan Sukan Malaysia (Sukma) dan dari situ boleh nampak setiap negeri aktif dan mempunyai potensi," jelasnya.

Melihat kepada sukan yang memerlukan disiplin, mental dan fizikal dalam tahap tinggi, pastinya golongan perempuan dilihat kurang untuk menyertai sukan tersebut.

Tampil mengulas perkara itu, Haitham yang pernah bersekolah di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Kampung Jawa, Klang itu berasakan golongan lelaki dan perempuan adalah seimbang.

"Pendapat saya tentang penglibatan lelaki dan perempuan dalam sukan ini adalah selari. Sebagai contoh di peringkat sukan, atlet lelaki lebih ramai jika dibandingkan dengan atlet perempuan.

"Tapi kalau pandangan sosial, orang ramai yang mengamalkan Muay Thai adalah untuk kesihatan dan pertahanan diri, jadi tiada kecenderungan mana-mana jantina," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 19.22.45

Haitham (kanan) bersama empat adik-beradiknya yang lain.

Bagaimanapun, tidak seperti sukan yang lain, kos bayaran bagi Muay Thai dilihat agak berpatutan kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

"Kos untuk menyertai Muay Thai ini bergantung kepada sesebuah kelab atau tempat latihan, kalau tempat saya sekitar Shah Alam atau kawasan kampung, bayaran tidaklah berat sangat, dalam anggaran RM200 sahaja bagi sebulan.

"Meskipun begitu, berbeza dengan kawasan bandar, tentunya sesebuah tempat itu berkait dengan sewa dan anggaran RM500 sahaja bagi sebulan. Muay Thai sekarang boleh jadi fulltime karier kerana jika seseorang tidak bekerja, dia boleh fokus dengan latihan secara individu," katanya lagi.

Menurutnya, lima aspek ini mempunyai kecenderungan yang sama iaitu akan timbul satu sifat untuk berani mencuba menyertai perlawanan atau kejohanan selepas berlatih lebih dua bulan.

Selain Haitham, empat adik-beradiknya yang lain, iaitu Fakhrurrozi Rumijam yang merupakan abang sulungnya berusia 27 tahun dan adik-adiknya, Hatem Rumijam (23), Wassof Rumijam (19) dan adik bongsu, Insyad Rumijam (17) turut aktif dalam sukan Muay Thai.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 20.59.49

Haitham (kiri) sering terlibat dalam sesi latihan sehingga hari ini.

Memegang jawatan sebagai jurulatih yang berperanan melahirkan atlet-atlet baharu dari lingkungan umur kanak-kanak sehingga dewasa, dia berkata, Pusat Latihan Persatuan Muay Thai Wilayah Persekutuan Putrajaya cawangan Shah Alam merupakan tempat yang sesuai.

Bercakap mengenai tujuan orang yang terlibat dengan sukan itu, Haitham berkongsikan bahawa setiap individu mempunyai tujuan yang berbeza.

"Berdasarkan pengalaman saya sebagai jurulatih yang hampir dua tahun, saya berpendapat setiap individu mempunyai tujuan yang berbeza tetapi tujuan yang selalu mereka cenderung mereka nak sihat, turunkan berat badan, kurangkan tekanan kadar gula dan kurangkan keletihan semasa bekerja.

"Tapi ada juga yang belajar untuk seni pertahanan diri kerana mempunyai pengalaman atau trauma pernah dibuli di sekolah mahupun tempat kerja. Ada yang belajar untuk vibe sahaja atau nak suasana itu kerana sukan ini quite interesting, so boleh berjumpa dengan kawan-kawan kerana kemungkinan background family yang tidak baik.

"Ada yang datang untuk competition dan nak try fight dengan orang lain dan ada juga golongan kanak-kanak yang belajar Muay Thai untuk mengisi masa lapang kerana jika berada di rumah, mereka akan lebih bermain iPad atau komputer tablet," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram