Benteng pertahanan longgar, Cheng Hoe tuntut kebangkitan Gergasi Merah di MBPJ


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Cheg Hoe menuntut anak-anak buahnya untuk bangkit daripada kekalahan kepada Terengganu menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ pada Sabtu.

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menuntut anak-anak buahnya untuk bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Tegas bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu, anak buahnya perlu lebih fokus dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana perlawanan masih berbaki 90 minit lagi untuk melangkah ke separuh akhir saingan piala paling berprestij dalam negara itu.

Mengulas mengenai perlawanan itu, jurulatih kelahiran Kedah itu mengakui anak buahnya gagal mengawal permainan dengan baik selain barisan pertahanan dilihat sedikit longgar sekali gus membenarkan lawan mencetak dua gol.

"Pasukan TFC bermain begitu baik dan konsisten terutama pada babak pertama manakala kita kurang kawal perlawanan dan juga gagal membuat hantaran dengan baik sekali gus menjejaskan keyakinan pasukan kita.

"Malah pertahanan kita juga pada malam ini (Sabtu) sedikit longgar dan secara keseluruhan kita tidak dapat mengawal tempo perlawanan dengan kita kerap bertahan, dalam bola sepak bertahan bukan mudah untuk hentikan lawan daripada menjaringkan gol.

"Pada separuh masa kedua kita melakukan tiga pertukaran dan berjaya bangkit terutama pada minit awal dan terakhir sehingga berjaya mencipta peluang terbaik untuk menjaringkan gol termasuk satu peluang terkena tiang, malangnya tiada jaringan terhasil, saya agak terkilan.

"Justeru kita terpaksa bekerja keras untuk perlawanan kedua minggu hadapan, pemain tidak boleh leka, mental dan fizikal mereka juga perlu kuat kerana misi kita adalah untuk melangkah ke separuh akhir dan seterusnya ke final sebagaimana musim lalu," kata Cheng Hoe selepas tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu bakal membuat perhitungan kedua pada 24 September ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memburu slot ke separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram