Esteban Solari ada formula lupakan mimpi ngeri dibelasah Kawasaki, asalkan JDT skor dulu masa ‘1st half’


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Solari akui pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menentang juara Liga Jepun itu. — Facebook/JDT

KEKECEWAAN dibelasah 0-5 oleh Kawasaki Frontale musim lalu tidak melunturkan azam Johor Darul Takzim (JDT) mengumpul tiga mata sulung pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menentang kelab Jepun itu pada aksi pertama Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, kemampuan pasukannya akan diuji dan percaya anak buahnya dapat memperagakan aksi terbaik bagi menebus kekalahan itu terhadap pasukan pilihan dalam kumpulan itu.

"Kami menjangkakan permainan berbeza berbanding tahun lalu, Kawasaki Frontale dilihat jauh lebih kuat kali ini dengan kualiti mereka dan pemainnya pantas.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi jika kami berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama, kami boleh mengawal mereka dan menang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Solari berkata, pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menentang juara Liga Jepun itu, sambil menambah Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri yang sebelum ini mengalami kecederaan, akan turut beraksi dalam ACL.

isi kawasaki JDT

Toru Iniki (kiri) dan Solari (kanan) akan membuat perhitungan taktikal siapa lebih berkesan pada Selasa ini. — Facebook/JDT

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah juga akan memberi kelebihan kepada mereka, namun beliau mengakui JDT tidak boleh memandang mudah Kawasaki Frontale yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Selain Kawasaki Frontale, skuad JDT turut diundi bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum United kelab dari Thailand.

Sementara itu, ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Iniki, berkata, pasukannya telah mencuba beberapa strategi semasa latihan dalam usaha menyukarkan gerakan JDT.

Dia menyifatkan pemain JDT, Bergson da Silva dan Juan Muniz perlu diberi perhatian oleh bentang pertahanan pasukannya.

"Kami mempunyai lapan pemain muda baharu yang akan beraksi untuk musim ini...kami perlu cuba memperbaiki skuad kami untuk mencabar lawan.

"Tetapi daripada pengalaman kami bersama JDT, kami mesti menjaringkan gol terlebih dahulu untuk memastikan dalam perlawanan kedua kami dapat mengawal seluruh pasukan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram