
RIBUAN rakyat etnik Armenia meninggalkan wilayah Nagorno-Karabakh dan mula menuju ke Armenia untuk mencari tempat perlindungan, beberapa hari kerajaan Republik Artsakh menyerah kalah dan tenteranya dibubarkan pada Ahad.
Perkembangan terbaharu di wilayah bergolak itu susulan operasi ketenteraan yang dijalankan tentera Azerbaijan bagi menghapuskan ancaman puak pemisah.
Menerusi video rakaman yang dikongsikan di Twitter (X) oleh @LGeopolitika, kumpulan etnik Armenia itu terutamanya golongan wanita dikatakan melarikan diri kerana takut diperkosa, dibunuh dan diseksa oleh tentera Azerbaijan.
Menurut kenyataan kerajaan Armenia, hampir satu perempat daripada penduduk Nagorno-Karabakh telah melarikan diri ke Armenia sejak Azerbaijan melancarkan serangan ke atas wilayah pertikaian itu yang bermula pada minggu lalu.
Kira-kira 28,000 orang atau 23 peratus daripada penduduk wilayah itu terdesak untuk melarikan diri sebaik sahaja Azerbaijan menarik balik sekatan selama 10 bulan di satu-satunya jalan utama wilayah itu ke Armenia.
Sekatan tersebut juga dipercayai telah menyebabkan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
Walaupun Armenia berjanji untuk menghormati hak rakyat wilayah itu tetapi rata-rata penduduk tetap berasa bimbang dengan tindakan balas dendam daripada pihak tentera.
Pembantu Presiden Azerbaijan, Hikmet Hajiyev sebelum ini berkata, pihak hospital di Azerbaijan bersedia untuk merawat mangsa, tetapi tidak menyatakan jika ada mangsa yang telah dibawa ke hospital tersebut.
Dalam pada itu, pemimpin Armenia Karabakh dalam satu kenyataan berkata, mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam operasi ketenteraan terbaharu Azerbaijan ingin pergi ke Armenia akan diiringi oleh pasukan pengaman Rusia.
Krisis Nagorno-Karabakh tercetus akibat daripada konflik perebutan wilayah tersebut yang disebabkan oleh penentangan majoriti penduduk berketurunan Armenia yang tinggal di wilayah Nagorno-Karabakh terhadap pemerintahan Azerbaijan.
Ekoran keruntuhan Kesatuan Soviet pada 1991 selain gagal untuk mengawal krisis melibatkan negara anggota, ia telah menyebabkan Perang Karabakh Pertama antara Armenia dan Azerbaijan meletus pada 1988 hingga 1994 dan kira-kira 30,000 orang terbunuh serta lebih sejuta rakyat Armenia kehilangan tempat tinggal.
Nagorno-Karabakh merupakan kawasan pergunungan di Caucasus Selatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan tetapi telah dikawal oleh etnik Armenia selama tiga dekad.
Wilayah itu telah disokong oleh Armenia dan negara sekutunya, Rusia yang mempunyai misi pengaman di negara tersebut sejak tiga tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram