Bukan pemain Selangor sahaja, ini 5 lagi pasukan pernah terpalit insiden 'sentuh' pengadil


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Tangkap layar insiden panas membabitkan Yazan bersama pengadil, Mohd Hasrol ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad.

AKSI suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor FC menentang Terengganu FC pada Ahad berakhir dengan adegan panas membabitkan pemain tuan rumah,Yazan Al Arab dan pengadil perlawanan.

Insiden yang berlaku selepas tamat perlawanan itu menyaksikan tonggak pertahanan import Selangor FC itu bertindak di luar kawalan apabila menendang pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir.

Perbuatan tersebut dilakukan selepas dia sebelum itu terlebih dahulu dilayangkan kad merah dipercayai akibat tindakannya yang menolak pengadil berkenaan.

Difahamkan, punca kepada insiden berkenaan berlaku disebabkan Yazan dilihat melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan ketika perlawanan terbabit.

Sebelum itu, Selangor FC gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 apabila hanya sekadar seri 1-1 dalam aksi timbal balik menentang TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sekali gus menyaksikan pasukan itu tewas dengan aggregat 3-1.

Insiden panas membabitkan pemain dan pengadil sememangnya tidak asing dalam perlawanan Liga Malaysia (M).

Antara faktor utama yang menjadi punca kepada insiden tersebut adalah mutu pengadilan yang tidak memuaskan dan sikap pemain yang terlalu beremosional sehingga melangkaui batas sebagai seorang pemain profesional.

Berikut Majoriti senaraikan lima insiden membabitkan tindakan pemain yang menyentuh dan menyerang pengadil secara fizikal pengadil ketika aksi Liga M:

1. Sarawak United

Aksi Liga Perdana di Stadium Bolasepak Cheras pada 10 Disember September 2021 berakhir dengan insiden tegang selepas pengadil perlawanan diserang oleh pemain Sarawak United FC.

Menerusi video tular di media sosial, pengadil perlawanan, Mohd Zamil Zakaria dilihat diserang selepas tamat perlawanan antara Sarawak United dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berlangsung di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur.

Berdasarkan klip berkenaan, serangan fizikal dan tolak menolak itu bukan sahaja membabitkan beberapa pemain Sarawak United, tetapi juga barisan kejurulatihan pasukan tersebut ketika pengadil tersebut mahu bergerak keluar dari padang.

Perasaan tidak puas hati itu dipercayai berpunca antaranya kerana keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada penjaga gawang Sarawak United, Sharbinee Allawee.

Selain itu, seorang pemain Sarawak United juga sebelum itu didakwa disiku oleh pemain NSFC, Francis Kone hingga berdarah semasa pemain lawan itu melakukan jaringan gol kemenangan.

Dalam aksi tersebut, Sarawak United tewas 0-1 di tangan NSFC.

Ekoran daripada kejadian itu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakana hukuman penggantungan dan denda kepada dua pemain dan dua pegawai Sarawak United.

Dalam kes tersebut, jumlah penggantungan perlawanan yang dilaksanakan adalah antara dua hingga empat perlawanan manakala nilai denda pula mencecah RM10,000.

2. Fadzrul Danel

1978118

Fadzrul ketika dilayangkan kad merah dalam aksi Liga Malaysia musim 2021. — MalaysianFootballLeague

Dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada 9 April 2021, pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam mencuri tumpuan selepas melakukan kekasaran dengan menolak pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin.

Ekoran daripada tindakan tersebut, dia segera dilayangkan kad merah oleh pengadil dengan keputusan perlawanan menyaksikan skuad Sang Kenari tewas 1-2 di tangan Terengganu FC.

Tindakan pemain muda Kedah itu menyebabkan dia digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik selain didenda RM10,000.

Kesalahan dilakukan Fadzrul itu melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan perlawanan.

3. Natxo Insa

1978119

Tindakan agresif daripada Natxo ketika aksi Liga Super musim 2021.

Turut pernah terbabit dengan insiden kekasaran fizikal terhadap pengadil ialah pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa.

Ketika aksi Liga Super yang berlangsung pada 21 Mac 2021, Natxo bertindak menyerbu dan menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel selepas tamat aksi membabitkan JDT dan Perak.

Susulan daripada insiden yang berlaku pada 21 Mac 2021, pemain berdarah campuran itu dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Natxo melakukan kesalahan dengan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat kesukanan.

4. Johor Bahru FA

Akibat berang dengan tindakan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Kelantan United FC, pemain Johor Bahru FA bertindak agresif dengan menolak pengadil sehingga mencetuskan pergaduhan.

Aksi itu tercetus selepas tamat perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata terikat dengan jaringan 3-3 pada perlawanan liga amatur Piala FA di Stadium Mini Kulai, Johor, pada 6 Julai 2019.

Insiden tersebut yang turut tular di sosial media itu menyaksikan pemain JBFA bertindak mengejar pengadil hingga ke luar padang berkenaan dan memaksa campur tangan pasukan keselamatan.

Susulan daripada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan pemain dan pegawai terlibat berisiko digantung seumur hidup daripada aktiviti bola sepak negara.

5. Akmal Rizal

2200262

Akmal ketika menyarung jersi Perak.

Bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merupakan antara salah seorang daripada lima pemain utama skuad Liga Super Perak menerima hukuman berat selepas menyerang pengadil perlawanan, Mohd Sabri Mat Lazim.

Kejadian panas itu berlaku ketika aksi Liga Super membabitkan Perak menentang Sabah di Stadium TLDM, Lumut pada 19 Mei 2011.

Ekoran daripada insiden tersebut, Akmal dikenakan hukuman gantung tujuh perlawanan dan didenda RM 4,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM.

Selain Akmal, empat pemain lain adalah Shahrulnizam Mustapha, penjaga gol, Nasril Nordin; Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram