SEMUA orang mungkin ada impian untuk mempunyai sebuah kelab bola sepak dan menguruskannya sehingga berjaya mencapai satu tahap tertinggi dalam landskap bola sepak Malaysia.
Banyak pasukan komuniti atau lebih dikenali sebagai amatur membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di tahap tertinggi bola sepak Malaysia meskipun perlu bermula dari bawah.
FC Jerantut dan Kerteh FC antara kelab yang sedang membina nama mereka untuk menjadi sebuah pasukan komuniti yang mampu bersaing dalam sistem liga bola sepak Malaysia.
FC Jerantut kini mula mendapat perhatian warga Jerantut selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam liga sosial.
Pengarah Teknikal FC Jerantut, Safiuddin Shaifuddin, 35, berkata, kewujudan pasukan yang berpengkalan di Jerantut itu untuk memberi peluang kepada anak-anak muda di Pahang mempamerkan bakat masing-masing.
"FC Jerantut ditubuhkan selaras dengan penswastaan pasukan dalam struktur liga di Malaysia bagi menghapuskan karenah birokrasi dan kepentingan politik dalam sukan bola sepak.
"Cita-cita kami untuk melihat FC Jerantut bersaing di peringkat yang lebih tinggi selain itu berharap pemain-pemain kami dapat membuka mata pasukan profesional dalam dan luar negara," katanya kepada Majoriti7.
Safiuddin turut berkongsi kaedah pemilihan pemain FC Jerantut melalui hasil pemerhatian bakat-bakat muda di daerah Jerantut, Pahang menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan.
"Pemilihan pemain dibuat secara mengesan bakat anak-anak muda sekitar Jerantut dan menyerap mereka ke dalam pasukan melalui sesi latihan yang intensif.
"FC Jerantut juga membuat sesi pemilihan terbuka melalui sesi perlawanan persahabatan untuk mengesan bakat pemain baharu," jelasnya.
Kerteh FC kini fokus dalam pembangunan akar umbi sekitar bandar Kerteh.
Dalam pada itu, Pengurus Kerteh FC, Tuan Mohd Faizal Tuan Kamaruddin, 48, berkata, pasukannya dalam fokus untuk program pembangunan akademi elit bagi memupuk bakat bola sepak pemain seawal usia bawah 8 tahun.
"Keutamaan Kerteh FC pada saat ini dicurahkan sepenuhnya untuk membangunkan fasiliti buat para pemain, pembangunan akar umbi serta meningkatkan lagi kekuatan kewangan kelab sebelum menyertai saingan yang lebih tinggi, sebagai contoh saingan divisyen tiga.
"Perkara ini sedang dijalankan dan kita akan tumpukan (terlebih dahulu) kepada pembangunan akar umbi supaya kita masuk (bersaing di kancah lebih tinggi) dengan lebih bersedia.
"Kisah beberapa pasukan yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia suatu masa dahulu sebelum terkubur diambil iktibar dan pengajaran oleh pihak pengurusan Kerteh FC dengan sebaiknya," luahnya.
Muhammad Aqil antara hasil usaha Kerteh FC membangunkan bakat-bakat muda.
Tambahnya lagi, hasil usaha program yang dilakukan oleh Kerteh FC ini telah berjaya menarik minat Terengganu FC dan skuad B-17 kebangsaan bimbingan Osmera Omaro apabila seorang pelatih dari pasukannya itu mendapat panggilan.
"Awal tahun ini, Muhammad Aqil Akashah Muhammad Nazmi tersenarai dalam kelompok 40 pemain ke kem latihan pusat fasa 1 skuad B-17 kebangsaan menjelang saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand.
"Kami sebenarnya agak terkejut dengan berita tersebut. Namun dalam masa yang sama kami juga menumpang gembira dan bersyukur atas perkembangan yang positif untuk kariernya.
"Aqil yang juga ketua pasukan B-16 kami pada musim ini berjaya menandatangani kontrak bersama Terengganu FC IV.
"Sebelum berhijrah ke skuad pelapis gergasi pantai timur, Aqil telah membantu Kerteh FC B-16 muncul juara Liga Remaja Bawah 16 Tahun anjuran KAL Leagues.
"Sebagai rekod, Aqil berhasil meraih 1,065 minit permainan hasil daripada 17 penampilan bersama Kerteh FC sepanjang musim lalu," jelasnya.
Liga Amatur Pahang memberi peluang kepada pemain-pemain mempertengahkan bakat-bakat muda yang tercicir.
Dalam pada itu, Pengarah Projek dan Operasi, Liga Amatur Pahang 2023 (PAL), Mohd Faiz Mazlan, 36, berkata, objektif utama penubuhan PAL adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda di samping memberikan kelainan untuk liga berstatus amatur.
"Salah satu objektif Liga Amatur Pahang adalah untuk mempertengahkan bakat-bakat muda yang tercicir, ini dibuktikan apabila kesemua anugerah individu tahun ini didominasi oleh pemain bawah 20 tahun iaitu Amir Eimran Yusni (19 tahun), Johari Che Joha (20 tahun) dan Ammar Fitri Armaizal (16 tahun).
"Tidak mustahil untuk edisi akan datang, pemain yang bermain di Liga Amatur Pahang mampu menarik minat scouting pasukan Liga M seperti yang berlaku di Liga FAS dan Selangor Champions League dimana pemain seperti Sharul Nazeem, Dirga Surdi dan Alif Romli berjaya beraksi di Liga Super.
Ammar Fitri Armaizal,16, antara pemain muda terbaik dalam Liga Amatur Pahang.
"Selain itu, penganjuran liga seperti ini sangat dinantikan oleh pasukan di Pahang yang mana mereka bukan sahaja dapat bersaing dengan pasukan berlainan daerah, malah pemain juga dapat minit permainan yang jauh lebih tinggi berbanding liga lain di Pahang.
"Liga Amatur Pahang menitik beratkan freshness yang mana setiap perlawanan, keputusan perlawanan, carta kedudukan mingguan sentiasa di kemaskini secara berkala di sosial media rasmi liga.
"Kehadiran penyokong di venue Peringkat Zon sangat menggalakkan malah perlawanan Peringkat Negeri yang disiarkan secara langsung di Facebook telah menarik ribuan viewer yang membuktikan liga amatur juga mampu menarik minat penyokong," ujarnya.
Shahrul Nazeem antara pemain muda yang bermula dari liga sosial dan kini merupakan prospek utama Selangor FC serta skuad kebangsaan.
Untuk rekod, bintang muda Selangor, Shahrul Nazeem juga bermula dari liga amatur dengan menyertai Marcerra United dan NPNG FC sebelum bakatnya berjaya dihidu oleh skuad Gergasi Merah apabila dia diserap masuk ke dalam skuad Presiden Selangor pada 2019.
Selain Shahrul, pemain kelahiran Sabah, Dirga Surdi juga bermula daripada pasukan amatur iaitu dengan menyertai SA United FC sebelum berjaya memikat pengurusan PDRM FC untuk menyenaraikannya pada musim 2020.
Kini Dirga kembali ke negeri kelahirannya apabila mewakili Sabah FC selepas aksi cemerlang bersama UiTM FC pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram