Pelaksanaan hukuman tegas bukti pengadil bola sepak dilindungi — Subkhiddin


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tindakan 'violent conduct' oleh Yazan Al-Arab telah menyebabkan pemain itu dibuang padang. — Agensi

INSIDEN panas yang berlaku melibatkan pemain Selangor FC, Yazan al-Arab ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC telah menjadi bualan hangat pengikut bola sepak negara.

Tindakan Yazan yang menendang pengadil telah menyebabkan pemain itu diberikan kad merah selepas berasa kecewa atas mutu pengadilan perlawanan tersebut.

Apa yang terjadi telah menimbulkan persoalan, adakah pengadil tidak cukup dilindungi ketika perlawanan? Kenapa begitu mudah pemain untuk datang dan menyerang mereka?

Jawapannya adalah, pengadil sebenarnya dilindungi dengan baik tetapi tidaklah secara terus sebaliknya menerusi penguatkuasaan peraturan yang ketat terhadap pemain.

Menurut bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh, perlindungan terhadap pengadil diberikan menerusi tindakan susulan yang dibuat oleh badan bertanggungjawab menganjurkan kejohanan seperti Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Subkhiddin-1-e1667477699412

Subkhiddin pernah berkhidmat di Piala Dunia 2010. — Agensi

"Secara umumnya, dari sudut pengadil di peringkat global, bila cakap mengenai perlindungan, pengadil memang dilindungi oleh tindakan susulan oleh pihak seperti AFC atau FIFA. Tindakan keras akan diberikan kepada pemain yang menganggu pengadil baik secara fizikal atau percakapan (verbal)," kata Subkhiddin kepada Majoriti.

Menurut Subkhiddin, tindakan terhadap pemain akan hadir menerusi laporan yang pengadil lakukan selepas perlawanan. Jika seseorang pemain dibuang padang kerana melakukan violent conduct, maka hukuman tambahan akan diberikan.

Ini berbeza jika satu-satu pemain itu dibuang padang kerana terlibat dalam serious foul play kerana itu berlaku sewaktu bola sedang dimainkan. Sebaliknya, violent conduct tertumpu kepada tindakan luar batas semasa tidak memegang bola.

"Perlindungan yang diberikan kepada pengadil bertujuan untuk mencegah pemain daripada melakukan pertikaian yang melampau.

"Pengadil akan buat laporan (selepas perlawanan), dan hantar kepada AFC atau FIFA. Kemudiannya, mereka akan buat pertimbangan. Kalau perlu, tindakan terhadap violent conduct akan diambil kerana hukuman terhadap kesalahan tersebut amat berat disebabkan ia berlaku di luar permainan," jelas Subkhiddin.

NINTCHDBPICT0004798513462-e1554102064405-692x459

Menumbuk pemain lawan ketika perlawanan adalah salah satu contoh 'violent conduct'. — Agensi

Walaupun pengadil dilindungi dengan cukup baik, ini bukanlah bermaksud mereka tidak boleh disentuh. Menurut Subkhiddin, pemain dan pengadil boleh bersentuhan sesama sendiri tetapi dengan tujuan positif sahaja.

"Pemain boleh bersalaman dengan pengadil dan melakukan sentuhan secara mesra seperti menyentuh bahu atau badan dengan tujuan melakukan interaksi.

"Tetapi, kalau sentuhan itu dibuat dengan niat ke arah ingin mencederakan atau cuba menghina pengadil, tindakan tegas boleh diambil oleh AFC atau FIFA. Tindakan tegas ini perlu dibuat kerana jika dilaksanakan maka pemain akan berasa gusar atau takut nak buat apa-apa," ulas Subkhiddin.

Subkhiddin merupakan bekas pengadil kebangsaan dan pernah berkhidmat di kejohanan utama dunia seperti Piala Asia 2004 dan 2011 serta Piala Dunia 2010. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram