TINDAKAN jijik seorang peniaga tepi jalan yang dipercayai meludah air liurnya ke dalam bekas makanan jualannya di Indonesia mencetus kemarahan warga maya.
Kejadian itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar dan dikongsikan di laman X (Twitter) pada Jumaat.
Menerusi video berdurasi 15 saat itu, peniaga lelaki berkenaan dilihat cuba memerhatikan keadaan sekeliling sebelum melakukan perbuatan tersebut.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di Indonesia, namun belum dapat dipastikan tarikh sebenar rakaman tersebut diambil.
Peniaga lelaki berkenaan difahamkan menjalankan perniagaan menjual siomai, makanan khas Jawa Barat di tepi jalan.
Lebih mendatangkan kemarahan netizen, si pelaku berani membuat perkara tidak senonoh itu di kawasan terbuka.
Perbuatan meloyakan itu dipercayai dilakukan sebagai salah satu cara untuk melariskan jualannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Twitter meluahkan kemarahan mereka terhadap tindakan tidak bermoral peniaga terbabit.
"Masih ada lagi yang berjual dengan cara begini ke?" soal Ridwan Syah Putera.
"Aduh, bila tengok macam ni, jadi was-was pula dengan peniaga kaki lima lain," keluh kurodai.
"Kasihan, gara-gara peniaga macam ini, habis semua penjual tepi jalan dipandang hina," ujar Ikanisa.
"Tahyul masih dipercayai oleh kebanyakan peniaga mikro. Masih ramai yang percaya amalan syirik boleh melariskan jualan mereka," kata berlima_v. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram