[VIDEO] Tiga laporan diterima, polis siasat lelaki 'ludah' adunan murtabak di Labuan


  • 112
  • Jumaat, 21 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki meludah bekas berisi adunan murtabak yang akan dijual kepada pelanggan.

POLIS kini membuka kertas siasatan berhubung sebuah video tular lelaki yang seoalah-olah sedang meludah bekas makanan yang mengandungi adunan murtabak di sebuah bazar Ramadan di Labuan,Sabah baru-baru ini.

Video berdurasi 11 saat yang berlaku di Bazar Ramadan Labuan Walk Labuan, tular di media selepas kejadian itu dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, mengesahkan sudah menerima sebanyak tiga laporan polis berhubung video tular berkenaan.

"Hasil penelitian lanjut, kejadian itu berlaku pada 19 April lalu di Bazar Ramadan Labuan Walk.

“Melalui rakaman itu, seorang lelaki dinyatakan sebagai penjual murtabak perisa air ludah di Bazar Labuan Walk ditonton dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak senang dengan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI : [VIDEO] Jijik! Peniaga ludah makanan untuk 'lariskan' jualan di bazar Ramadan Labuan

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan video atau sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat.

“Sekiranya ada mana-mana pihaknya yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta agar tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan, Mohd Kennedy Mat Jusoh di talian 087-412222,” katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan seorang peniaga tergamak meludah ke dalam bekas berisi makanan yang akan dijual kepada pelanggan dipercayai untuk melariskan jualannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram