SEORANG peniaga tergamak meludah ke dalam bekas berisi makanan yang akan dijual kepada pelanggan dipercayai untuk melariskan jualannya.
Difahamkan kejadian itu berlaku di salah sebuah bazar Ramadan di Labuan, Sabah.
Dalam video berdurasi 11 saat itu yang mula tular di media sosial dan Telegram Anak Sabah sejak Khamis itu, seorang lelaki dilihat meludah ke dalam bekas makanan yang sedang disediakan.
"Jijik, terbantut sudah selera mahu beli makanan di bazar. Boleh pula dia meludah dalam makanan. Ini mesti bagi 'jin makan' dulu sebab nak melariskan jualan," tulis individu yang berkongsi video tersebut.
Sementara itu memetik laporan The Star, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin mengesahkan kejadian tersebut berlaku di Labuan.
"Kami mengambil maklum dengan video yang tular tersebut dan ia berlaku di Labuan namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar insiden itu berlaku," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambahnya lagi, pegawai kesihatan di semua daerah di negeri ini melakukan pemeriksaan berkala di bazar Ramadan.
“Pegawai kami juga akan mengambil sampel makanan secara rawak untuk memastikan tiada pencemaran.
“Kebanyakan pengendali makanan kami mematuhi prosedur operasi standard yang betul dan kebersihan dalam mengendalikan makanan
"Sepanjang Ramadan setakat ini, Sabah tidak mengalami peningkatan kes keracunan makanan.," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Francis Paul berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram