[VIDEO] Tak puas hati pemandu berhenti di lampu isyarat merah, pemilik Honda sengaja ludah, langgar bonet kereta


  • Benua
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar seorang lelaki membuli pengguna jalan raya yang lain di persimpangan lampu isyarat di Bandung. — Agensi

BELUM pun reda kejadian tular melibatkan seorang lelaki bertindak biadap dengan menunjal kepala seorang wanita di Cameron Highlands, Pahang pada Selasa, timbul pula satu video seorang lelaki bersikap kurang sopan dengan pengguna jalan raya yang lain.

Namun, kali ini, video yang melibatkan pembuli jalan raya itu bukanlah berlaku di Malaysia tetapi di negara jiran, Indonesia.

Memetik laporan media antarabangsa Ayo Jakarta.com, kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu namun mula tular pada Selasa.

Menurut mangsa yang tidak didedahkan namanya, ketika kejadian dia sedang berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat di Bandung.

"Keadaan jalan raya pada waktu kejadian agak lengang. Ada yang mengambil kesempatan tersebut tidak mempedulikan isyarat lampu merah dan terus memandu.

"Saya tetap berhenti dan secara tiba-tiba kenderaan jenis Honda Freed di belakang saya membunyikan hon keretanya.

"Dia kemudiannya bertindak memotong kereta saya dari tepi," katanya.

Tambahnya lagi, keadaan menjadi semakin tegang selepas pemandu kereta tersebut memberhentikan kereta serta keluar daripada kenderaan dan terus mengeluarkan kata-kata kesat.

"Dia keluar dan memaki saya. Pada masa sama, dia turut meludah ke arah kereta saya," katanya.

Menerusi video berdurasi 22 saat tersebut, jelas kelihatan pemandu Honda Freed berkenaan bertindak kurang ajar ekoran tidak berpuas hati dengan mangsa yang memberhentikan kenderaannya ketika lampu isyarat merah.

Lebih menggeramkan lagi, sebelum beredar daripada tempat kejadian, pemandu itu sempat mengundurkan keretanya dengan laju dan melanggar kenderaan mangsa dengan sengaja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram