[VIDEO] Tragedi pilu, budak lelaki 8 tahun maut dihempap dinding pagar masjid ketika berwuduk


  • Benua
  • Rabu, 20 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki maut dihempap dinding tembok pagar sebuah masjid di Indonesia.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap tembok dinding pagar sebuah masjid ketika sedang mengambil wuduk baru-baru ini.

Kejadian malang itu berlaku di Masjid Raya Lubuk Minturun yang terletak di daerah Lubuk Minturun, Kecamatan Koto Tangah, Kota Padang, Indonesia pada Isnin lalu.

Memetik laporan media antarabangsa, suaramerdeka.com, hasil daripada rakaman kamera liter televisyen (CCTV) masjid berkenaan memaparkan kanak-kanak tersebut bersama seorang lagi rakannya di luar masjid berkenaan yang berhampiran kawasan parkir.

Turut kelihatan beberapa orang awam dilihat meletakkan kenderaan mereka di kawasan tersebut sebelum seorang penunggang motosikal hilang kawalan lalu merempuh tembok berkenaan.

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan dinding pagar masjid itu runtuh lalu menghempap mangsa.

Sementara itu, rakan mangsa berada dalam keadaan selamat dan sempat melarikan diri.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa orang awam ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram