NIAT sekumpulan remaja lelaki melakukan aktiviti 'hiking' di Bukit Perangin, Changlun, Kedah terpaksa dilupakan apabila mereka menyaksikan beberapa buah kereta yang sudah ada di kawasan parkir menjadi mangsa khianat oleh individu yang tidak ketahui.
Dalam kejadian pada Ahad itu, beberapa kenderaan yang diletakkan di tempat tersebut ditoreh pada bahagian tayar.
Dalam video berdurasi kurang seminit tersebut kedengaran suara si perakam meminta orang awam untuk lebih berhati-hati untuk ke lokasi kejadian.
Malah, kedengaran suara seorang lelaki dipercayai mangsa mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan ekoran terlalu marah melihat situasi tersebut.
"Orang datang baru nak 'healing' sampai pagi sudah jadi macam ini. Ini memang tak baliklah ini, macam mana nak balik dengan keadaan macam ini," jeritnya.
Difahamkan, kawasan tersebut merupakan lokasi biasa bagi pengunjung untuk meletakkan kenderaan sebelum mereka mendaki Bukit Perangin.
Namun, kawasan itu juga seringkali menjadi sasaran individu yang tidak bertanggungjawab.
Melalui perkongsian awal yang dikongsikan seorang individu di aplikasi WhatsApp, kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama terjadi.
"Kawasan 'panas' ini, memang ramai yang sudah terkena. Dulu lagi teruk, habis semua cermin kena pecah. Pemilik kenderaan hanya mampu balik menangis. Kalau jumpa sapa dalang elok hantar balai polis terus," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mangsa ataupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram