Remaja 15 tahun dibawa bersiar-siar sebelum diperkosa 2 lelaki Rohingya di Melaka


  • 112
  • Rabu, 20 Sep 2023

Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa yang dirogol. — Gambar Hiasan

REMAJA lelaki etnik Rohingya berusia 14 tahun adalah antara dua suspek yang telah ditahan berhubung dakwaan merogol seorang gadis bawah umur di Batu Berendam, Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 27 tahun, juga Rohingya, dan tangkapan dibuat berikutan laporan polis yang dibuat oleh abang mangsa di balai polis Batang Tiga pada 15 September lalu.

Mangsa, katanya, merupakan pelajar sekolah menengah di Melaka berusia 15 tahun.

“Laporan itu dibuat oleh abang mangsa berusia 22 tahun dengan mendakwa adiknya dirogol selepas hilang dari rumah pada pukul 2 petang pada 14 September.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 15 tahun yang masih bersekolah, keluar dari rumahnya pada 14 September kira-kira pukul 2 petang untuk bersiar-siar bersama seorang lelaki Rohingya berusia 14 tahun yang baru dikenalinya.

"Lelaki itu yang juga suspek pertama membawa mangsa menaiki motosikal sekitar pukul 4 petang sebelum bertemu dengan seorang lagi lelaki Rohingya berusia 27 tahun (suspek kedua) di sebuah restoran di Klebang.

"Mereka kemudiannya pergi bersiar-siar dengan menaiki kereta Proton Preve dipandu suspek kedua sebelum mangsa dirogol oleh kedua-dua lelaki itu di dalam kenderaan berkenaan di tepi pantai di kawasan itu.

"Selepas dirogol mangsa ditinggalkan di sebuah taman permainan di kawasan Batu Berendam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zainol berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa.

"Bertindak atas maklumat polis berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek lelaki Rohingya pada hari sama dan direman tujuh hari bermula 15 hingga 21 September ini bagi siasatan lanjut.

"Suspek pertama seorang penganggur dan suspek kedua, peniaga dan mereka turut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram