ISU harga barang yang kini semakin membimbangkan memberi kesan kepada seluruh dunia termasuk Kanada apabila salah seorang rakyatnya mengeluh dengan kenaikan harga barangan runcit yang mendadak.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok, @sydmuddy, dia menunjukkan harga-harga barang keperluan harian yang dijual di sebuah pasar raya di Kanada.
Menurut wanita itu, kenaikan harga barang menjadi salah satu punca orang ramai terpaksa mencuri bagi kelangsungan hidup.
"Anda mahu tahu kenapa rakyat mencuri barang runcit dalam keadaan ekonomi sekarang? Kerana makanan ini semua kosnya sebanyak $23 (RM107.73).
"Salad ini berharga $10 (RM46.84), empat ketul bebola keju Mozzarella $5.16 (RM24.17) manakala snek seimbang kecil ini berharga hampir $9 (42.16)," katanya sambil menunjuk beberapa barang mentah di dalam troli beli-belahnya.
Pada masa yang sama, dia sempat menunjukkan harga snek makanan yang pernah dijual dengan harga $0.50 sen (RM2.34) itu kini naik mendadak dan dijual dengan harga $2.50 (RM11.71) sekotak.
"Ia tidak masuk akal, makanan seperti itu sepatutnya untuk makanan lengkap golongan miskin namun sekarang saya sendiri tidak dapat membelinya," tambahnya lagi.
Sebelum itu, Kanada mengalami kenaikan harga barangan runcit dan kenaikan harga barang terutama makanan di kedai meningkat daripada 21.6 peratus pada awal 2021 kepada 25.9 peratus pada akhir 2022 ketika pandemik.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata, beliau telah memanggil para ketua pemilik runcit terkemuka Kanada ke Ottawa minggu hadapan bagi membincangkan rancangan untuk mengawal harga makanan dalam kenyataannya pada Khamis.
Trudeau berkata, kerajaan juga boleh mengenakan cukai baharu ke atas rantaian runcit jika mereka tidak menyediakan pelan yang meyakinkan untuk mengehadkan kenaikan harga makanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram