MASALAH kekurangan gula dalam negara bukanlah satu isu baharu dalam negara. Malah isu tersebut semakin kerap dijadikan topik utama dalam media massa.
Realitinya, isu tersebut semakin menghimpit rakyat walaupun kerajaan menafikan perkara tersebut.
Malah ada segelintir ahli politik terutamanya pihak pembangkang yang 'nakal' menggunakan isu tersebut sebagai modal untuk terus memburukkan kerajaan.
Pada bulan Mei lalu, media melaporkan penduduk di dua negeri iaitu Kedah dan Kelantan mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan gula di pasaran.
Malah, ada yang terpaksa memberhentikan perniagaan buat sementara waktu kerana kesukaran mendapatkan keperluan asas tersebut.
Terbaharu, penduduk di Johor terutamanya yang berada di Johor Bahru juga mengeluh sukar untuk mendapatkan bekalan gula.
Penduduk di Johor terutamanya yang berada di Johor Bahru mengeluh sukar untuk mendapatkan bekalan gula. — Gambar Hiasan
Tinjauan laporan Bernama di beberapa kawasan antaranya Taman Suria, Taman Sentosa, Kempas dan Bandar Dato' Onn mendapati beberapa pasar raya pula menjual barang keperluan asas itu dengan mengehadkan seorang pembeli hanya boleh membeli dua paket gula sekilogram.
Namun, di sebalik masalah kekurangan gula ini, masih ada lagi yang terkeliru dengan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) dan gula putih bertapis jernih (gula premium).
Malah, seorang wanita di laman Twitter (X) telah mengeluarkan kenyataan mengenai kedua-dua jenis gula tersebut sehingga menimbulkan kekeliruan terhadap warga maya.
Wanita berkenaan memuat naik satu video dengan mengatakan kedua-dua jenis gula tersebut sama dan berbeza kualiti paket sahaja.
Untuk rekod, harga kawalan runcit yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram bagi gula kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula halus.
Sementara itu, gula premium pula dijual dengan harga RM4.20 hingga RM4.60 sekilogram.
Kerajaan juga memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh kerajaan. — Gambar Hiasan
Di Malaysia, kerajaan telah membenarkan permohonan dua syarikat pengeluar gula iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula premium.
Pada masa sama, kerajaan juga telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh kerajaan.
Keputusan membenarkan dua syarikat gula tempatan mengeluarkan gula putih bertapis jernih atau gula premium, bertujuan memastikan harga runcit gula putih kasar dan halus tidak dinaikkan.
Selain itu cara pemprosesan kedua-dua gula ini juga berbeza yang mana gula premium akan diproses pada tahap terbaik dan rasa lebih manis.
Manakala gula putih bertapis sedia ada akan diproses secara kasar dan halus menggunakan mesin serta lebih banyak dijual di pasaran.
Jika merujuk kepada negara-negara Asean, harga runcit gula pasir Malaysia yang paling rendah dan termurah. Harga runcit di Thailand yang menanam sendiri tebu untuk pengeluaran gula RM3.20 sekilo, 35 sen lebih mahal dari Malaysia. Begitu juga negara penanam tebu seperti Filipina dan Indonesia di mana harga runcit gula pasir RM 8.53 sekilo dan RM4.30 sekilo.
Sehubungan itu, menerusi kebenaran penjualan gula premium kepada MSM dan CSR, kerajaan dapat mengekalkan harga kawalan runcit gula rakyat pada kadar semasa, selain menambah pilihan produk gula dalam pasaran tempatan kepada pengguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram