[VIDEO] Gaduh sampai mati bukan sebab belek pisang goreng dengan tangan, tapi kerana berang ditegur jual cempedak goreng mahal — Polis Taiping


  • 112
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Pergaduhan tersebut berlaku di hadpaan gerai jualan makanan milik mangsa di Assam Kumbang, Taiping pada Selasa lalu.

POLIS mengesahkan punca sebenar pergaduhan antara pelanggan dan seorang peniaga gerai jualan di Assam Kumbang, Taiping, Perak yang maut pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisoner Razlam Ab Hamid berkata, pergaduhan tersebut tercetus selepas pelanggan terbabit menegur harga cempedak goreng yang dijual peniaga berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis sebelum itu menerima laporan berhubung pergaduhan berkenaan pada pukul 4.15 petang.

“Difahamkan kejadian berpunca dari mangsa yang berusia 50-an yang juga peniaga cempedak dan pisang goreng yang menengking pelanggannya kerana menegurnya menjual terlalu mahal.

“Susulan dari tindakannya itu, berlaku pergaduhan membabitkan mangsa dan pelanggannya sehingga menyebabkannya maut dipukul di lokasi kejadian.

“Turut dirampas dalam kejadian itu sebuah topi keledar dan tiga batang kayu yang telah patah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Susulan daripada kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga penduduk setempat bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek yang ditahan di lokasi kejadian didapati turut positif dadah jenis morfin dan ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 19 September depan.

2284525

Tangkap layar video tular pergaduhan tersebut yang berlaku di hadapan gerai jualan mangsa pada Selasa.

Dalam pada itu, Razlam berkata, Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada pukul 9.45 pagi Rabu mengesahkan mangsa maut akibat sakit jantung dan kecederaan tisu lembut pada badan

“Siasatan lanjut masih lagi dibuat dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada masa sama, Razlam berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tambil berkerjasama dengan pihak polis.

Pada Rabu, tular video mengenai kejadian pergaduhan maut tersebut yang mendakwa berpunca ekoran pergaduhan besar melibatkan pelanggan yang dikatakan membelek pisang gorengnya dengan tangan.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan perkara itu dan menyatakan punca pergaduhan disebabkan mangsa memarahi pelanggannya kerana berang ditegur menjual cempedak goreng dengan harga mahal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram