CUKAI Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan di Malaysia ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 berkuat kuasa pada 1 April 2015.
GST melibatkan pembekalan berkadar standard sebanyak enam peratus, pembekalan berkadar sifar, pembekalan dikecualikan cukai dan pelepasan daripada pengenaan dan pembayaran cukai.
Penguatkuasaan cukai GST bertujuan untuk mentransformasikan sistem percukaian negara dan merangsang ekonomi negara yang semakin membangun untuk mencapai status negara maju.
Kadar standard untuk GST adalah enam peratus dan ia dikumpulkan pada setiap peringkat rantaian bekalan.
Cukai tersebut telah dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk memperluas asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.
Menurutnya, kerajaan bersikap terbuka dan akan melalui apa sahaja cara bagi mencapai kemampanan fiskal menerusi asas hasil lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal, GST atau sebarang bentuk cukai langsung atau tidak langsung.
Dalam pada itu, kerajaan akan menjawab pertanyaan sama ada akan mengembalikan semula sistem GST pada Isnin depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklum balas daripada ahli Parlimen telah diterima dan perkara itu akan dibincangkan di Dewan Rakyat.
Meskipun cukai itu diyakini dapat merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk masa akan datang, namun masih terdapat rakyat yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Sehubungan itu, Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa rakyat mungkin menolak GST dikembalikan semula:
1) Pendapatan rakyat masih rendah
Ahmad Maslan akan menjawab segala pertanyaan berhubung cukai GST pada Isnin. — Bernama
Pendapatan rakyat ketika ini dikatakan masih berada pada tahap yang rendah.
Berbeza dengan negara lain yang melaksanakan cukai GST termasuk Singapura, Kanada dan New Zealand yang mana pendapatan minimum rakyat mereka adalah munasabah.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah berkata, agak mustahil untuk melaksanakan semula GST dalam tempoh enam bulan atau setahun akan datang kerana pendapatan rakyat masih rendah.
"Pendapatan rakyat mesti naik dahulu, nilai ambang itu perlu munasabah," katanya.
Tambahnya, kerajaan tidak boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan semula GST ketika ini kerana jumlah golongan susah masih ramai.
"Sekarang ini (golongan susah) masih terlalu ramai, 130,000 miskin tegar, B40 yang ramai, jadi tidak boleh dipertimbangkan untuk masa sekarang," katanya.
2) GST tidak bantu ekonomi Malaysia
Pendapatan rakyat ketika ini dikatakan masih berada pada tahap yang rendah. — Bernama
Keberhasilan cukai itu juga terus menjadi pertikaian banyak pihak.
Malah ada juga yang berpandangan, sekiranya GST benar-benar memberi hasil besar kepada negara dan menarik pelaburan asing, mengapa ekonomi Malaysia terus merosot sejak GST dilaksanakan?
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong sebelum ini juga pernah memberi hujah beliau berhubung perkara tersebut menerusi laman web yang dikenali sebagai LCT.
Ujar beliau, para pendakyah GST sering mengemukakan alasan bahawa hanya 16.5 peratus rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan.
Mereka berpendapat bahawa nilai itu tidak cukup untuk ekonomi negara. Bagi mereka, GST akan memastikan setiap warganegara dan pemastautin dikenakan cukai.
Namun, yang tidak ditanya ialah mengapa tidak ramai rakyat membayar cukai pendapatan?
Yang menyebabkan majoriti tidak membayar cukai pendapatan ialah kerana mereka tidak cukup kaya, malah tidak cukup pendapatan untuk membayar cukai.
Inilah hakikat yang enggan diceritakan oleh pendakyah-pendakyah GST.
Apabila Najib mengatakan GST mampu mengutip hasil yang besar kepada kerajaan, mengapa pula kerajaannya ketika itu terpaksa memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)?
Jika GST berjaya menyelesaikan masalah kewangan negara, mengapa BR1M tidak dimansuhkan mulai 2016, iaitu setahun selepas pelaksanaan GST? Di mana hasil besar GST untuk kerajaan yang Najib menguar-uarkan itu?
Yang jelas ialah apabila hanya 16.5 peratus rakyat Malaysia mampu membayar cukai pendapatan manakala 60 peratus lagi dianggap miskin atau sekurang-kurangnya berada dalam golongan berpendapatan rendah, ia membuktikan GST bukanlah penyelesaian terbaik untuk rakyat.
3) Membebankan rakyat
GST tidak membezakan antara golongan kaya dengan golongan miskin.
Selain itu, GST juga dilihat akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
GST adalah satu bentuk cukai regresif yang mengenakan kadar cukai yang sama untuk setiap orang tanpa mengira kaya atau miskin, golongan berada atau golongan daif.
GST boleh dikatakan sebagai tidak adil kepada kebanyakan rakyat Malaysia.
Ini kerana cukai itu tidak membezakan antara golongan kaya yang mempunyai pendapatan yang lebih besar dengan golongan miskin yang berpendapatan kecil.
Inilah yang dimaksudkan bahawa GST memberi kesan regresif dalam pengagihan pendapatan.
Mekanisme percukaian tersebut dikatakan regresif apabila jumlah yang dikenakan cukai meningkat, kadar cukai keseluruhan menurun, maka mekanisme percukaian ini dikatakan regresif.
Justeru, GST tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana rakyat sudah terbeban dengan pelbagai kos perbelanjaan harian, ditambah kos harga barangan yang semakin meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram