![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/09/10/2277167.jpg)
PENERBANGAN 403 Air China terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi Singapura pada Ahad selepas mengesan asap di ruangan kargo hadapan dan tandas pesawat berkenaan.
Insiden tersebut dimaklumkan dalam satu kenyataan oleh lapangan terbang terbabit yang turut memaklumkan semua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat dipindahkan dengan api di bahagian kiri enjin berjaya dipadamkan.
Penerbangan yang berlepas dari Chengdu, China itu mendarat pada pukul 4.15 petang waktu tempatan di Singapura.
Menurut pihak berkuasa lapangan terbang itu, Landasan 3 di tempat tersebut juga ditutup buat sementara dengan waktu operasi penerbangan dijangka akan turut terjejas ekoran insiden berkenaan.
Sementara itu, The Straits Times melaporkan bahawa penerbangan Air China dari Chengdu, di wilayah Sichuan itu melakukan pendaratan cemas di Singapura pada petang Ahad selepas enjin kirinya terbakar.
Penerbangan CA403 itu 'menemui asap' dalam ruang kargo hadapan dan tandas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Changi, menurut catatan Facebook oleh lapangan terbang tersebut.
Pesawat itu, yang terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianfu pada pukul 11.05 pagi, mendarat di Landasan 3 kira-kira pukul 4.15 petang, dengan semua penumpang dan anak kapal selamat dipindahkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram