PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Pulau Langkawi, Kedah, kira-kira pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya.
Bagaimanapun, tiada sebarang panggilan kecemasan yang dibuat oleh pesawat berkenaan.
"Panggilan pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang, dan pelepasan untuk pendaratan diberikan pada 2.48 petang.
"Kemudian pada pukul 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang mendapati ada kepulan asap di lokasi nahas kejadian tetapi tiada panggilan 'mayday' (panggilan kecemasan) dibuat oleh pesawat itu.
Ujar Norazman, seramai enam penumpang dan dua kru penerbangan berada di dalam pesawat tersebut.
"Perkembangan terkini mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC), telah diaktifkan untuk menjayakan misi mencari dan menyelamat.
"Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram