KEJADIAN nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang Khamis sememangnya merupakan satu tragedi mengejutkan buat seluruh rakyat Malaysia.
Insiden itu mengorbankan 10 nyawa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal serta dua orang awam yang kebetulan melalui lokasi kemalangan yang terletak di susur Lebuhraya Guthrie.
Dalam kenyataan pertamanya susulan kejadian itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pesawat jet persendirian jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu berlepas dari Langkawi, Kedah untuk ke Lapangan Terbang Subang, Selangor pada pukul 2.08 petang.
Menurutnya, pesawat itu panggilan pertama ke Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2.47 petang dengan pelepasan pendaratan diberikan pada pukul 2.48 petang.
Bagaimanapun, CAAM menyatakan, Menara Kawalan Trafik kemudiannya melihat berlakunya kepulan asap dari lokasi nahas pada pukul 2.51 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, tiada sebarang panggilan kecemasan atau 'mayday' diterima daripada pesawat terbabit.
Lokasi kejadian pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Jumaat. — Bernama
Untuk rekod, istilah ‘mayday’ merupakan frasa yang berasal daripada perkataan Perancis, ‘m’aider’ yang membawa maksud ‘tolong saya’.
Istilah ini mula dikenali sebagai sebahagian daripada isyarat kecemasan meminta pertolongan melalui saluran radio di seluruh dunia sejak awal 1920-an.
Penggunaan frasa universal ini dipilih kerana ia memiliki bunyi dan kejelasannya yang tersendiri menyebabkannya mudah untuk dikenal pasti melalui transmisi radio.
Sebelum itu, isyarat kecemasan menggunakan istilah SOS yang merupakan singkatan bagi maksud 'save our souls'.
Pada 1927, Konvensyen Radiotelegram Antarabangsa mengumumkan penggunaan 'mayday' sebagai panggilan kecemasan bagi telefon radio untuk menggantikan SOS.
Dalam pada itu, perkembangan penggunaan frasa 'mayday' dalam protokol industri penerbangan bergerak selari dengan usaha untuk seragamkan isyarat kecemasan susulan berlakunya peningkatan penggunaan pesawat udara selepas Perang Dunia Pertama.
Ketika penerbangan, frasa panggilan ini sangat penting dalam situasi kecemasan antaranya bagi membolehkan juruterbang mendapatkan pertolongan dan melapor mengenai sebarang kegagalan fungsi pesawat serta kemungkinan menyebabkan pesawat terhempas.
Disebabkan kepentingannya dalam situasi darurat mahupun kecemasan, sebarang komunikasi yang menggunakan isyarat tersebut sentiasa dipantau oleh pusat kawalan trafik (ATC).
Menurut wartawan, Ibrahim Sani, ketiadaan isyarat 'mayday' itu sangat signifikan dalam penyiasatan kes tersebut.
Katanya, ini kerana situasi itu membawa maksud bahawa pihak berkuasa termasuk CAAM tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kecemasan yang berlaku sehingga sebelum terjadinya kemalangan berkenaan.
Untuk rekod, tempoh antara panggilan terakhir pesawat tersebut ke ATC Subang untuk mendarat dan waktu kemalangan tersebut adalah tiga minit.
Sehubungan itu, Ibrahim berkata, terdapat beberapa fokus utama dijangka diberikan keutamaan dalam siasatan kes berkenaan.
"Isu paling jelas perlu dilihat penyiasat ialah mengapa tiada 'mayday'? Apakah yang berlaku begitu pantas sehingga juruterbang tidak dapat memanggil bantuan sebelum nahas?
"Kedua, mengapa kemalangan itu berlaku di lokasi tersebut ? Adakah juruterbang cuba mendarat? Jika ya, rakaman CCTV menunjukkan agak mustahil untuk melakukan pendaratan kecemasan dengan mengambil kira impak dihadapi pesawat itu selepas kemalangan.
"Ketiga, latihan, pengalaman dan latar belakang juruterbang pesawat pastinya akan dilihat. Kebanyakan juruterbang tahu bahawa panggilan 'mayday' sepatutnya menjadi keperluan utama ketika kecemasan. Hakikat bahawa tiada 'mayday' berlaku, menandakan kemungkinan wujudnya situasi lain yang lebih mendalam tentang punca mengapa nahas ini berlaku," katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. — Bernama
Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter yang dipercayai bertugas sebagai juruterbang, kapten_y berkata, ketiadaan isyarat kecemasan tersebut berkemungkinan berlaku kerana pesawat ketika itu berada dalam fasa akhir untuk mendarat.
"Ketiadaan panggilan 'mayday' dilihat mungkin ada kaitan dengan fasa penerbangan yang sedang dilalui pesawat itu, memandangkan ia sudah berada dalam fasa terakhir untuk mendarat di SZB (Lapangan Terbang Subang).
"Peraturan utama dalam penerbangan mengikut susunan keutamaan ialah 'aviate (menerbangkan), navigate (mengendalikan), dan communicate (berkomunikasi).
"Ketika juruterbang terlalu sibuk melakukan usaha menyelamatkan pesawat (aviate), sama ada dari perlanggaran atau kegagalan aerodinamik (yang puncanya hanya boleh diketahui selepas siasatan dijalankan), kemungkinan juruterbang tiada masa untuk membuat panggilan kecemasan kerana pesawat sudah berada di altitud yang sangat rendah," jelasnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, alat perakam suara kokpit (CVR) daripada kotak hitam pesawat tersebut sudah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Jumaat untuk dianalisis.
Katanya, segala maklumat berkenaan siasatan terhadap alat tersebut dan kejadian itu akan didedahkan kepada umum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram