PENUMPANG dan kru penerbangan syarikat Air China yang sedang dalam perjalanan dari Shanghai ke Beijing, mengalami situasi menakutkan selepas pesawat dinaiki beberapa kali menghadapi gelora yang teruk ketika berada di udara.
Malah, terdapat penumpang menyifatkan kejadian yang mencederakan beberapa individu itu seperti mimpi ngeri apabila ada antara mereka terpelanting ke udara seperti 'patung'.
Pesawat A330 itu berlepas pada pukul 3.24 petang 10 Julai lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital seperti dijadualkan pada pukul 5.18 petang.
Menurut laporan People’s Daily yang memetik saksi penumpang, pergolakan udara itu berlaku kira-kira 40 minit sebelum mendarat.
Salah seorang daripada penumpang yang juga ahli paleobiologi (ahli kaji fosil), Xing Lida berkata, penerbangan itu pada mulanya normal namun secara tiba-tiba mengalami penurunan ketinggian altitud kira-kira sejam sebelum pendaratan.
"Kami sangat takut dan cuba untuk memastikan berada di tempat duduk secepat mungkin.
"Beberapa saat kemudian, kapal itu terjunam secara mendadak sekali lagi menyebabkan seorang penumpang dan pramugari yang ketika itu tidak berada di tempat duduknya tercampak ke siling pesawat," kata tulis Lida di Weibo.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan papan tanda jalan keluar yang tergantung patah manakala sebahagian siling pesawat rosak sehinga menyebabkan paip dan kabel elektrik kapal terbang berkenaan, terdedah.
“Pramugari itu mengalami kecederaan di bahagian pinggang manakala tangannya pula berdarah. Ada juga penumpang lain yang turut tercedera,” ujar Lida yang merupakan seorang saintis berpangkalan di Beijing.
Dia bagaimanapun memberikan penghargaan tinggi kepada pramugari Air China yang disifatkan sebagai sangat profesional dan tenang mengendalikan situasi tersebut.
Keadaan dalam pesawat selepas dilanda gelora udara. — Agensi
Syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pesawat itu mengalami insiden gelora udara dan memaklumkan juruterbang dan anak kapalnya menangani situasi tersebut mengikut peraturan keselamatan.
Dalam pada itu, beberapa penumpang lain turut memberitahu media bahawa bantal dan botol air turut terpelanting ke udara semasa kejadian.
Gambar tular yang diambil seorang penumpang turut menunjukkan terdapat helaian surat khabar, beg kecil dan kertas bertaburan di lorong ruangan tempat duduk penumpang.
Passenger and flight attendant injured after Air China flight hit severe turbulence between Shanghai and Beijing. pic.twitter.com/AGiZ6mp4lt
— Breaking Aviation News & Videos (@aviationbrk) July 11, 2023
Seorang lelaki bernama Yu yang duduk di tengah-tengah pesawat berkata, dia tercampak ke udara ekoran insiden tersebut.
"Ketakutan yang saya rasai semasa kejadian itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," ujarnya dipetik oleh Jimu News. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram