PENUMPANG pesawat Batik Air berdepan detik cemas apabila penghawa dingin dan lampu dalam kapal terbang tersebut terpadam secara tiba-tiba.
Keadaan itu menyebabkan beberapa penumpang mengalami sesak nafas dan kepanasan hingga ada yang nekad ingin membuka pintu kecemasan, bagaimanapun tindakan itu dihalang dengan pantas oleh kru kabin.
Malah, berdasarkan video yang tular di laman sosial, dalam keadaan gelap, kedengaran beberapa individu memaki hamun pramugari yang melarang pintu kecemasan itu dibuka.
“Kau nak buat kami mati, kau anjing! Tiada udara di sini, Batik (Air) ini adalah anjing,” kata salah seorang penumpang dalam rakaman itu.
“Jangan buka encik, ini (pintu) kecemasan,” kata pramugari tersebut.
Difahamkan, kapal terbang berkenaan dalam perjalanan dari Makassar ke Jakarta, Indonesia.
Rata-rata warga maya menyuarakan komen-komen negatif berhubung kejadian tersebut.
“Inilah akibatnya apabila pesawat ingin diterbangkan tetapi kru tidak memeriksa keadaannya sama ada sesuai atau tidak untuk digunakan ketika itu. Perkara ini sering berlaku," katanya.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada kenyataan media daripada pihak Batik Air berhubung kejadian ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
