[VIDEO] 'Jangan lupa solat' jadi pesanan terakhir Johari buat anak


  • Massa
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Ahmad Zahid turut hadir sewaktu upacara pengebumian Allahyarham Johari. — Facebook/AhmadZahid

"JANGAN lupa solat." Demikian antara kata-kata yang sempat dititipkan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun kepada anaknya ketika perbualan terakhir antara kedua-duanya.

Pesanan diberikan itu dipegang erat oleh Muhammad Hafiz Naqiuddin, 22, yang turut mengimamkan solat jenazah bapanya itu di masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa ke tanah perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor pada Ahad.

Pada masa sama, pemuda itu turut dilihat tidak dapat menyembunyikan kesedihannya semasa proses pengebumian bapanya yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai dan exco bagi kerajaan negeri Pahang.

Bercakap ringkas kepada pemberita selepas pengebumian, Muhammad Hafiz berkata, dia sangat menghargai tempoh 22 tahun bersama bapanya.

“Sepanjang tahun-tahun yang saya lalui bersamanya merupakan satu momen sama ada ia baik atau buruk.

“Apa yang saya boleh minta ialah semua rakyat Malaysia mendoakan arwah bapa saya,” katanya pada Ahad.

KLANG, 20 Ogos -- Orang ramai serta ahli keluarga membantu membawa keluar jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai allahyarham Datuk Seri Johari Harun dari Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang selepas selesai solat jenazah untuk urusan pengkebumian hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Orang ramai serta ahli keluarga membantu membawa keluar jenazah Johari Harun dari Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang selepas solat jenazah untuk urusan pengebumian pada Ahad. — Bernama

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz menyifatkan bahawa bapanya merupakan seorang individu yang mudah didekati dan sangat mementingkan mengenai soal kebajikan.

Katanya, pihak keluarganya bersyukur apabila jenazah bapanya dapat dikebumikan sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau kehilangan seorang kawan baik.

“Saya sebenarnya ada rancangan untuk ke Langkawi semalam (Sabtu), dan kami sepatutnya minum kopi dan bersama-sama ke sana.

“Dari segi peribadinya, beliau mempunyai sikap yang sopan dan tidak pernah meninggikan suara. Negara kehilangan seorang pemimpin yang hebat,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata, beliau berterima kasih atas usaha segera pihak berkuasa yang membenarkan semua mayat mangsa nahas udara itu untuk dikebumikan sehari lebih awal.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama hospital dan jabatan forensik kerana bekerja keras dengan pantas, membolehkan kami mengebumikan semua mangsa hari ini (Ahad).

“Seperti yang dijanjikan kerajaan negeri, kita akan memberi bantuan kepada mangsa dan kita sudah pun menghantar bantuan awal kepada keluarga terbabit.

“Ini adalah satu kehilangan yang besar terutama kepada rakyat Pahang kerana beliau (Johari) seorang yang komited dan rajin.

“Setiap minggu apabila kami bertemu, beliau akan membincangkan isu dihadapi pengundi dan portfolio yang dipegangnya. Ini merupakan satu takdir yang tidak dapat elakkan tetapi dan ia satu kehilangan besar buat kami di Pahang,” katanya.

2238652

Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Jenazah Johari tiba di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, Taman Selasih, Batu Caves, pada pukul 11.45 pagi, Ahad untuk dikebumikan.

Hadir sama Presiden Umno yang juga merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Johari selamat dikebumikan pada pukul 12.15 tengah hari.

Pada Khamis, sebuah pesawat Beechcraft 390 dikendalikan Jetvalet yang turut dinaiki Johari terhempas di Shah Alam, Selangor.

Nahas itu berlaku pada pukul 2.50 petang sejurus selepas pesawat berkenaan diberikan pelepasan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dekat Subang, Selangor.

Pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Langkawi, Kedah.

Insiden itu mengorbankan kesemua lapan individu yang menaiki kapal berkenaan dan bersama dua pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

Selain Johari, mangsa lain terlibat ialah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, lima penumpang terdiri Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki and Idris Abdol Talib @ Ramali.

Pengguna jalan raya yang maut ialah penghantar makanan, Muhamad Hafiz dan pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram