TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka mengislamkan seorang saudara baharu pada 18 Ogos lalu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dalam satu acara dijalankan di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor pada 18 Ogos lalu, Anwar dilihat mengajar ucapan kalimah syahadah kepada seorang lelaki kaum India yang baru memeluk Islam.
Rakaman acara pengislaman tersebut yang turut tular di sosial media menimbulkan perdebatan di sosial media dengan terdapat segelintir pihak mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.
Ini kerana, menurut mereka, sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya lebih sensitif terhadap sentimen rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Untuk rekod, media melaporkan bahawa keberadaan Anwar di majlis itu adalah secara kebetulan memandangkan pada waktu itu, beliau hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Di sebalik kritikan diterima, terdapat pelbagai pihak turut tampil mempertahankan tindakan berkenaan.
Terbaharu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hak mengislamkan saudara baharu adalah hak untuk mana-mana individu yang beragama Islam termasuk Perdana Menteri.
Hak mengislamkan saudara baharu adalah hak mana-mana Muslim, termasuk YAB Perdana Menteri. Ia juga biasa dilakukan beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Pengislaman itu sah di sisi syarak, dan tidak bercanggah dengan perlembagaan, apatah lagi akta atau enakmen berkaitan. Saya... https://t.co/yooqnQtxcm
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) August 24, 2023
Jelasnya, tindakan mengislam saudara baharu itu juga pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
"Pengislaman itu sah di sisi syarak, dan tidak bercanggah dengan perlembagaan. Apatah lagi akta atau enakmen berkaitan," ujarnya yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi satu ciapan di Twitternya.
Dalam pada itu, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, setiap lapisan masyarakat di dalam negara seharusnya lebih tenang dalam menanggapi isu tersebut.
"Dalam berinteraksi dengan peristiwa ini masyarakat Malaysia seharusnya berlapang dada dan tidak memperbesarkan lagi perkara ini sehingga menjadi polemik baharu dalam negara. Hal ini kerana, ia bukanlah tindakan yang berbentuk hasutan apatah lagi ancaman kepada saudara berlainan agama.
"Sedangkan, perkara ini menggambarkan keunikan tersendiri bagi negara Malaysia, walaupun rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama tetapi masih dapat hidup dengan harmoni dalam satu negara," ujar kenyataan itu lagi.
Menerusi hantaran sama, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsikan mengenai pandangan Islam berkenaan perbuatan mengislamkan saudara baharu.
Zulkifli pernah menyandang jawatan sebagai bekas Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, menuntut umatnya bagi menyeru manusia masuk ke dalam Islam dan ia merupakan satu pekerjaan yang amat berat.
Jelas kenyataan itu, ALLAH juga menjanjikan ganjaran pahala yang amat besar kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.
Ia selari dengan firman ALLAH dalam surah al-Fussilat ayat 33 yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) ALLAH, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada ALLAH)".
Sementara itu, terdapat juga hadis yang menceritakan mengenai galakan menyeru manusia kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperoleh.
Menerusi satu hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Demi ALLAH, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”
Sebahagian ulama mentafsirkan makna hadis ini dengan makna bahawa mengislamkan seseorang itu lebih baik berbanding memiliki unta yang terbaik atau menyedekahkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram