[VIDEO] Disyaki sudah lama berlatih panjat dinding, polis Pennsylvania buru banduan lari penjara


  • Benua
  • Khamis, 07 Sep 2023

Tangkap layar seorang banduan melarikan diri dari penjara Pennsylvania, Amerika Syarikat.

SEORANG banduan lelaki dilaporkan melarikan diri dari penjara Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) apabila dirakam memanjat dinding dan menuju ke bahagian bumbung pada minggu lalu.

Ketika kejadian, Danelo Cavalcante, 34, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup terlebih dahulu dilihat bersembunyi di satu kawasan terpencil dan jauh dari banduan lain sebelum mula memanjat dinding berkenaan.

Suspek yang merupakan pesalah kes membunuh itu kemudiannya terus merangkak menuju ke kawasan bumbung untuk melarikan diri dari penjara terbabit.

Tidak menggunakan sebarang peralatan kelengkapan, Polis Pennsylvania, Leftenan George Biven percaya bahawa suspek sudah lama berlatih untuk melakukan kegiatan tersebut.

Biven berkata, polis telah meningkatkan usaha pencarian di kawasan sekitar penjara berkenaan kerana Cavalcante masih gagal ditemui selepas enam hari menghilangkan diri.

Untuk rekod, Cavalcante yang merupakan seorang pendatang kelahiran Brazil telah memasuki Amerika Syarikat secara haram dan menerima hukuman penjara seumur hidup bulan lalu atas kesalahan membunuh bekas teman wanitanya, Deborah Brandao pada 2021.

Susulan kejadian itu, seramai 200 anggota penguatkuasa undang-undang dilaporkan sedang menjalankan operasi memburu banduan itu di Timur Pennsylvania.

Dalam pada itu, pada Sabtu lalu, kelibat Cavalcante dirakam berada di Longwood Gardens, AS dan difahamkan sedang menuju ke kawasan utara.

Menurut pendakwa raya, suspek masih kelihatan memakai pakaian penjara bersama sebuah beg galas berwarna gelap.

Pegawai penguatkuasa undang-undang Pennsylvania dan Perkhidmatan Polis Amerika Syarikat menawarkan ganjaran sebanyak RM 93,560,000 (AS$20,000) kepada individu yang boleh memberikan maklumat lokasi suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram