ADALAH disunahkan untuk menyelimutkan jenazah dengan niat untuk menjaga kehormatan mangsa sekiranya bertemu dengan mangsa kemalangan yang disahkan meninggal dunia, kata Ustaz Mohammad Abdul Kadir Sahak.
"Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) privasi, maruah, hartanya dan darahnya," katanya memetik Hadis Riwayat Muslim.
Perkara tersebut pernah dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurut Mohammad Abdul Kadir, penyebaran gambar mahupun video yang memaparkan wajah atau tubuh badan mangsa kemalangan dalam laman media sosial adalah perkara yang haram di sisi agama Islam.
Jelasnya, kematian tersebut tidak kira sama ada meninggal secara biasa, mangsa kemalangan maut, mangsa bunuh atau kes bunuh diri.
"Kita masih ditegah untuk mengambil gambar, video kerana mencemar kemuliaan seseorang manusia tidak kira sama ada gambar orang yang meninggal dunia secara biasa atau akibat kemalangan.
"Yang berlaku, biarkan kekal berlaku dan diketahui orang yang ada di lokasi kejadian, siapa yang mampu membantu, maka dia bantu.
"Bukan untuk ambil kesempatan untuk dapat 'like' di Facebook dan seumpamanya, maka perkara ini ditegah dalam agama," ujarnya.
Sunat untuk menyelimutkan jenazah yang terlibat dalam kemalangan. — Facebook
Perkara itu turut disokong bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu ciapan di Twitter.
Malah Zulkifli menambah, perlakuan tidak bermoral itu akan melukakan hati keluarga mangsa yang terlibat.
"Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, malah ia juga melibatkan maruahnya (mangsa)," ciapnya.
Sabda Nabi S.A.W:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. Riwayat Muslim (2564)
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pengguna Twitter yang bertanyakan pandangan dan nasihat berhubung tindakan segelintir pihak yang seolah-olah berlumba-lumba ingin menjadi 'wartawan segera' untuk melaporkan mengenai kejadian nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.
Malah, ada yang sanggup menyebarkan gambar dan video mangsa yang terbakar tanpa sekelumit rasa bersalah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) sedih semasa meninjau keadaan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis. — Bernama
Sebelum ini, polis mengesahkan orang kenamaan merupakan antara 10 individu maut dalam nahas pesawat tersebut.
Antara yang terkorban dalam kejadian sekitar pukul 2.51 petang itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram